Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari

KUALA LUMPUR – Dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam pertaruhan judi bola sepak Kejohanan Euro 2024 di medan selera dekat Jinjang, Kepong, dicekup di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, kedua-dua lelaki warga tempatan masing-masing berusia 42 dan 47 tahun itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Pencegahan Judi, Maksiat dan Gangsterism (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur kira-kira jam 1.30 pagi.

“Ketika ditahan, kedua-dua suspek sedang membuka laman web pertaruhan berkait judi bola sepak Euro 2024.

“Siasatan awal mereka dipercayai pemain bukan bookie dan polis telah merampas dua telefon bimbit daripada mereka untuk membantu siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah beliau, polis masih meneruskan siasatan untuk mengenal pasti rangkaian aktiviti pertaruhan haram itu.

Katanya lagi, polis mendapati suspek tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau.

“Kedua-dua suspek telah direkod keterangan untuk membantu siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1963.

“Polis juga mengesan terdapat segelintir individu menjadikan premis makanan sebagai tempat untuk membuat pertaruhan dan operasi dan risikan ini dilaksanakan bagi menangani kegiatan haram itu.

“Polis juga memberi amaran tegas dalam usaha membanteras kegiatan judi tidak berlesen dan orang ramai digesa untuk menyalurkan maklumat sebarang aktiviti perjudian untuk tindakan lanjut,” tegasnya lagi.-MalaysiaGazette