Para pelajar yang turut serta dalam FedEx/Junior Achievement International Trade Challenge (FedEX/ JAITC) untuk tahun 2024.

KUALA LUMPUR- Syarikat kurier terkenal, Federal Express (FedEx) Corporation telah mengumumkan enam pemenang akhir FedEx/Junior Achievement International Trade Challenge (FedEX/ JAITC) untuk tahun 2024.

Keenam-enam pemenang akan mara ke pusingan akhir serantau Asia, Timur Tengah (AMEA) yang akan dianjurkan pada Ogos nanti.

Enam pelajar yang mewakili Malaysia adalah kumpulan The Randoms dari Catholic High School, Cheong Chun Kit dan Yeong Yun Lam yang mencipta Shower Timer.

Keduanya, kumpulan Aqua Wonders dari Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Green Lane terdiri daripada S. Shivani Unnamalai dan Julia Jasmine Jufri yang mereka Aqua Wonders.

Ketiga, kumpulan Hydro Quest yang diwakili Anshul Bangalore dan Hwang Yeseong dari Tanarata International School yang mencipta Mini Speaker.

Menurut kenyataan, kerjasama yang telah wujud sejak 16 tahun lalu di antara FedEx dan Junior Achievement (JA) Malaysia adalah bertujuan untuk memupuk pertumbuhan dan pembangunan golongan belia.

“Tahun ini, peserta diberikan cabaran untuk membangunkan satu strategi kemasukan pasaran ke Australia dengan membuat produk pemuliharaan air.

“Kami percaya projek ini sesuai dan relevan dengan masalah cuaca panas yang telah menjejaskan ekosistem dan infrastruktur negeri itu,” katanya dalam kenyataan.

Pengarah Urusan FedEx Malaysia, Tien Long Woon kagum dengan semangat dan kesungguhan para pelajar kerana mereka berupaya mencipta produk menggunakan kreativiti dan pemikiran di luar kotak – perkara yang amat penting dalam dunia perniagaan sekarang.

“Program ini juga selaras dengan visi syarikat untuk membangunkan pemimpin masa hadapan dan melengkapkan mereka dalam menghadapi persekitaran makro yang dinamik dan berubah dengan pesat,” tambahnya.

Pusingan akhir yang akan diadakan nanti merupakan penganjuran bersemuka kali pertama sejak mulanya pandemik beberapa tahun lalu.

Sejak tahun 2008, lebih daripada 9,200 orang pelajar Malaysia telah menyertai pertandingan FedEX/JA ITC, dengan jumlah dua pelajar berjaya mendapatkan tempat dalam tiga kumpulan terbaik dalam tahun 2019.-  MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast