Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Etiqa Insurance dan Takaful, Kamaludin Ahmad.

KUALA LUMPUR – Penemuan dari Etiqa’s Gen Z Financial Health Survey mendapati generasi muda kini lebih bijak menguruskan kewangan daripada apa yang disangka sebelum ini.

Hal ini didorong oleh kenaikan kos sara hidup dan perubahan struktur ekonomi yang mendesak mereka untuk membuat pertimbangan semula terhadap simpanan dan pelaburan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Etiqa Insurance & Takaful, Kamaludin Ahmad, memahami tingkah laku kewangan Gen Z penting dalam landskap dinamik hari ini.

“Berdasarkan kajian yang telah dibuat, generasi muda di Singapura dan Malaysia aktif merombak strategi simpanan dan pelaburan mereka selain banyak mendapatkan panduan daripada pempengaruh dalam talian.

“Walaubagaimanapun, generasi kedua-dua negara ini mempunyai tahap keyakinan yang berbeza di mana golongan muda di Malaysia lebih tertarik untuk melabur dalam instrumen berisiko rendah seperti insurans,” katanya dalam kenyataan.

Berdasarkan pemerhatian, 64 peratus dari demografi di Malaysia menekankan kekurangan simpanan kecemasan adalah antara tiga sebab kebimbangan utama mereka selain 48 peratus yang lain gusar kerana tiada perancangan kewangan yang komprehensif serta skor kredit yang rendah.

“Apabila kita teliti dua kesan pasaran semasa, 33 peratus dan 35 peratus responden meluahkan kesukaran selain tekanan yang dihadapi dalam menyimpan untuk mencapai matlamat kewangan mereka.

“Mereka bukan sahaja menangguhkan pembelian besar seperti hartanah dan kereta malahan 55 peratus  Gen Z di Malaysia telah mengambil langkah untuk mengurangkan perbelanjaan dengan kurang makan di luar manakala 33 peratus tekad untuk menambah ilmu pelaburan untuk menjana pendapatan,” tambahnya.

Institut Penyelidikan Pasaran Modal Malaysia (ICMR), berkata, pempengaruh dalam talian memainkan peranan penting dalam membentuk budaya pelaburan generasi muda.

Di Malaysia, mereka lebih cenderung untuk melabur dalam produk seperti insurans (33%), emas atau logam berharga (31%) serta unit amanah dan bon (27%).

“Dalam perubahan ekonomi dan kos sara hidup yang semakin meningkat ini, pelaburan dapat memberikan harapan untuk membantu generasi muda mencapai matlamat kewangan mereka sekaligus menyumbang kepada masa depan yang lebih cerah untuk semua,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast