TORONTO – Kanada telah menyenaraikan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) sebagai organisasi pengganas.
Menteri Keselamatan Awam Dominic LeBlanc Ketika mengumumkan perkara itu berkata, langkah itu penting dalam memerangi keganasan global.
Tindakan itu bermakna beribu-ribu pegawai kanan kerajaan Iran, termasuk pegawai tinggi IRGC, akan dihalang daripada memasuki Kanada.
Langkah itu dikutuk oleh Kementerian Luar Iran dengan menyifatkannya sebagai langkah “tidak bijak dan tidak konvensional”.
“Tindakan Kanada tidak akan memberi kesan kepada kuasa sah dan menghalang Pengawal Revolusi,” katanya.
IRGC ialah kuasa ketenteraan, politik dan ekonomi utama di Iran, mempunyai hubungan rapat dengan Pemimpin Tertinggi, Ayatollah Ali Khamenei.
Dianggarkan mempunyai lebih 190,000 kakitangan aktif dengan pasukan darat, tentera laut dan udara yang mengawasi senjata strategik Iran.
IRGC memberi pengaruh di tempat lain di Timur Tengah dengan menyediakan wang, senjata, teknologi, latihan dan nasihat kepada kerajaan bersekutu dan kumpulan bersenjata melalui cabang operasi luar negara yang gelap, Pasukan Quds, menurut kerajaan.
Pasukan Quds telah pun disenaraikan sebagai kumpulan pengganas oleh Kanada, tetapi pengumuman hari Rabu melanjutkan tindakan tersebut kepada seluruh IRGC.
Bercakap kepada pemberita, LeBlanc berkata, tindakan itu “menghantar mesej kuat bahawa Kanada akan menggunakan semua alat yang ada untuk memerangi entiti pengganas IRGC”.
“Rejim Iran secara konsisten menunjukkan sikap tidak menghiraukan hak asasi manusia, di dalam dan di luar Iran serta kesediaan untuk menggugat kestabilan perintah berasaskan peraturan antarabangsa,” katanya.
Selepas penamaan ini, pegawai kanan kerajaan Iran semasa dan yang sudah berada di Kanada juga kini boleh disiasat dan diusir.
Menteri hal ehwal luar Kanada, Melanie Joly, memberi amaran warga Kanada di Iran mungkin berisiko ditahan sewenang-wenangnya berikutan pengumuman itu.
“Mesej saya jelas: bagi mereka yang berada di Iran sekarang, sudah tiba masanya untuk pulang ke tanah air. Dan bagi mereka yang merancang untuk pergi ke Iran, jangan pergi,” katanya. – Agensi