Bangunan Kementerian Kesihatan Malaysia.

KUALA LUMPUR – Penderma makanan di rumah kebajikan dan pusat tahfiz harus memastikan makanan selamat juga perlu meletakkan mesej keselamatan untuk penerima.

Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, selain itu, maklumat yang perlu diletakkan adalah berkenaan tarikh, masa makanan siap dimasak, masa akhir perlu dimakan atau tarikh luput makanan dan pemakluman ia perlu dimakan dalam tempoh empat jam selepas disediakan.

“Penderma hendaklah memastikan penerima mendapat maklumat awal berkaitan makanan yang hendak disumbangkan dan memastikan makanan yang disumbang diterima oleh penerima bukannya ditinggalkan tanpa pemakluman,” kata KKM menerusi kenyataan.

KKM berkata demikian mengulas kerisauan pelbagai pihak berkenaan sumbangan makanan kepada pusat kebajikan dan tahfiz.

Manakala penerima sumbangan makanan pula hendaklah merekodkan maklumat yang diterima serta memastikan ia diterima dalam keadaan baik dan selamat.

Dalam masa yang sama, penerima juga dinasihatkan untuk makan makanan yang disumbangkan dengan kadar segera dan elakkan menyimpan melebihi tempoh selamat.

“Amalkan Lihat, Hidu, Rasa semasa penerimaan makanan. Penerima berhak menolak makanan yang diterima sekiranya keadaan makanan telah rosak, pembungkusan tidak sempurna, tiada maklumat makanan yang disumbangkan dan tempoh penyediaan telah melebihi empat jam,” jelasnya.

Menurutnya, KKM melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) sentiasa memperkasakan kawalan pencegahan keracunan makanan di setiap peringkat rantaian makanan antaranya dengan membangunkan Garis Panduan Keselamatan Makanan Bank Makanan (Food Bank) yang menggariskan panduan bagi penyediaan makanan yang selamat dan berkualiti untuk tujuan sumbangan.

Tambah kementerian itu, semua pihak perlu sedar bahawa keracunan makanan yang serius boleh membawa maut.

“Garis Panduan Keselamatan Makanan Bank Makanan (Food Bank) ini boleh dimuat turun di laman web Program Keselamatan dan Kualiti Makanan di hq.moh.gov.my/fsq.

“KKM turut mewujudkan kesedaran (create awareness) kepada semua masyarakat melalui taklimat keselamatan makanan dan mesej secara berterusan. KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam keselamatan pengguna,” katanya lagi.

Sebelum ini dilaporkan, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berumur dua tahun meninggal dunia disyaki akibat keracunan makanan pada 10 Jun lalu.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) juga mengesahkan sedang menjalankan siasatan bagi mengesan kes-kes baharu berhubung kejadian keracunan makanan pada Program Kemahiran Amal Islami (KAMIL) Peringkat Daerah Gombak itu yang melibatkan 30 sekolah rendah pada 8 Jun lalu itu-MalaysiaGazette