Abidin (tiga dari kanan) diumumkan sebagai calon mewakili PN pada PRK Sungai Bakap.

DENGAN majoriti pengundi Melayu iaitu seramai 61 peratus – Perikatan Nasional (PN) dilihat lebih berpeluang untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi itu pada 6 Julai ini.

Ia mengambil kira sentimen ‘gelombang hijau’ atau ‘gelombang Melayu’ yang masih dapat dirasakan sehingga kini meskipun selepas hampir dua tahun Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan iaitu pada November 2022.

‘Gelombang hijau’ yang sama turut membadai enam negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) termasuk di Pulau Pinang pada Ogos tahun lalu yang menyaksikan hampir keseluruhan daripada 15 kerusi majoriti Melayu di negeri itu dimenangi calon PN.

Apatah lagi dalam tempoh kurang setahun selepas PRN lalu, tidak banyak perubahan besar dapat disaksikan rakyat khususnya pengundi Melayu sama ada peringkat pusat atau negeri yang boleh mengubah pendirian politik mereka secara drastik ketika ini.

Begitupun PN tidak boleh berasa terlalu selesa atau cukup yakin dapat mempertahankan kerusi DUN Sungai Bakap itu dengan mudah pada PRK kali ini.

Kemenangan pada PRN lalu dengan majoriti 1,563 undi belum cukup kuat untuk memasikan kemenangan buat calon mereka pada PRK kali ini iaitu Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail.

Cabaran utama pastinya untuk terus meyakinkan pengundi Sungai Bakap khususnya pengundi luar untuk menjalankan tanggungjawab mereka pada 6 Julai nanti.

Jika melihat kepada trend pengundian pada PRK sebelum ini, peratusan keluar mengundi kebiasaannya agak rendah berbanding ketika PRU atau PRN.

Bagi pengundi Sungai Bakap juga, PRK kali ini adalah proses mengundi kali ketiga dalam tempoh kurang dua tahun selepas PRU-15 yang mana boleh menjadi satu proses yang tidak lagi dapat menarik minat atau perhatian mereka lebih-lebih lagi bagi pengundi luar.

Cabaran lain juga adalah bagaimana untuk PN berdepan dengan jentera parti Kerajaan Perpaduan yang lebih besar dan tersusun sama ada dari segi dana mahupun logisitik.

Berdasarkan pengalaman pada PRU dan PRN lalu, jentera PN ternyata jauh ketinggalan dalam gerak kerja mendekati rakyat berbanding jentera parti Pakatan Harapan (PH) yang lebih agresif dan sistematik.

Apatah lagi dengan status parti yang mewakili Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri, Kerajaan Perpaduan pastinya akan menggunakan semua kelebihan dan kekuatan yang ada untuk memastikan kemenangan calon mereka, Dr. Joohari Ariffin.

Kemenangan di kerusi DUN Sungai Bakap pada PRK kali ini juga sangat mustahak untuk Kerajaan Perpaduan membuktikan segala perubahan yang dilakukan mereka sama ada di peringkat Pusat atau Kerajaan Negeri selepas PRU-15 dan PRN lalu benar-benar mendapat sokongan serta diterima majoriti rakyat.

Sudah semestinya dengan kesungguhan Kerajaan Perpaduan untuk merampas semula kerusi itu, PN tidak boleh berterusan mengharapkan ‘gelombang hijau’ untuk mencipta kemenangan pada PRK DUN Sungai Bakap kali ini.

Lebih daripada itu, PN juga perlu menjadikan PRK kali ini sebagai medan untuk mengukur serta menilai sokongan kaum Cina dan India terhadap gabungan politik itu sekiranya masih menyimpan cita-cita besar untuk membentuk Kerajaan Pusat pada PRU-16. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast