Tengku Zafrul Aziz menandatangani MoU bersama Wang Wentao, bagi meningkatkan kerjasama dalam bidang Ekonomi dan Perdagangan, Ekonomi Digital, serta Ekonomi Hijau di antara Malaysia dan China. Pertukaran MoU ini disaksikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Perdana Menteri China, Li Qiang di Putrajaya.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan & Industri (MITI) memfasilitasi pertukaran 11 Memorandum Persefahaman (MoU) antara entiti Malaysia dan China, dengan jumlah potensi pelaburan sebanyak RM13.2 billion sempena lawatan rasmi pertama ke Malaysia oleh Perdana Menteri China, Li Qiang.

MoU tersebut mencerminkan keyakinan berterusan komuniti perniagaan China terhadap kekuatan dan kemampanan hubungan diplomatik selama 50 tahun antara Malaysia dan China, menekankan kedudukan Malaysia sebagai salah satu rakan pelaburan dan perdagangan utama China di rantau Asia Tenggara.

MoU utama melibatkan beberapa agensi di bawah MITI, termasuk Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Bank Eksport-Import Malaysia Berhad (Exim Bank Malaysia).

Pertukaran MoU-MoU ini turut disaksikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz dan Menteri Perdagangan China (MOFCOM), Wang Wentao.

MoU antara MIDA dan China International Capital Corporation Limited (CICC) bertujuan memperkukuh kerjasama ekonomi dan industri, dengan fokus meningkatkan peluang pelaburan dalam sektor bernilai tinggi dan meneroka integrasi rantaian bekalan dalam industri utama di Malaysia dan China.

Kekuatan CICC dalam urus niaga rentas sempadan dan rangkaian luasnya di China melengkapi peranan strategik MIDA dalam menarik pelaburan bernilai tinggi di bawah Pelan Induk Perindustrian Baru 2030 (NIMP 2030).

Melalui kerjasama ini, CICC akan menyokong pelaburan asing daripada syarikat inovatif terkemuka, sekali gus memperkukuh pembangunan industri Malaysia.

Matrade telah menandatangani MoU dengan Bank of China (Malaysia) Berhad untuk memperkukuh hubungan dengan institusi kewangan antarabangsa di samping meningkatkan akses pasaran serta pilihan pembiayaan untuk pengeksport Malaysia.

Melalui MoU ini, kedua-dua pihak dapat memanfaatkan kepakaran dan rangkaian masing-masing untuk faedah kepada komuniti perniagaan kedua-dua negara. Bank of China (Malaysia) Berhad, dengan rangkaian cawangannya yang luas di China, akan menjadi perantara penting bagi pengeksport Malaysia dalam membina hubungan perniagaan serta menyediakan penyelesaian kewangan.

MoU Exim Bank Malaysia dengan Industrial and Commercial Bank of China (Malaysia) Berhad (ICBC Malaysia) bertujuan untuk memupuk dan memperkukuh hubungan kewangan dua hala. MoU tersebut menggariskan rangka kerja untuk kerjasama strategik bagi mempromosikan manfaat bersama dan memperdalam hubungan kewangan antara kedua-dua institusi.

Kedua-dua bank akan secara bersama mempromosikan pembangunan perdagangan China-Malaysia dan kerjasama pelaburan melalui pelbagai platform ekonomi, perdagangan, dan pelaburan di kedua-dua negara.

Di bawah program Malaysia Global Connect (MGC) EXIM Bank, mereka juga berhasrat untuk memanfaatkan rangkaian luas Kumpulan ICBC untuk komuniti perniagaan Malaysia bagi berkembang ke pasaran baharu seperti Afrika.

MoU yang lain pula dimeterai antara syarikat Malaysia dan China bagi memperkukuhkan kolaborasi dalam sektor bernilai tinggi seperti minyak dan gas, tenaga, pendidikan dan Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET), pertanian, automotif serta perkhidmatan utiliti. – MalaysiaGazette