Perjanjian ini ditandatangani oleh Mohamad Fauzi bin Md Isa dan Shazurawati Abd Karim, disaksikan oleh Teo Nie Ching.

KUALA LUMPUR -TM dan Kerajaan Malaysia hari ini memeterai perjanjian untuk membangunkan dan mengendalikan sistem panggilan kecemasan baharu negara, Next Generation Emergency Services 999 (NG999).

Iai bagi menggantikan Malaysian-Emergency Responses 999 (MERS999) sedia ada.

Perjanjian ini ditandatangani oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi bin Md Isa dan Naib Presiden Eksekutif TM One, Shazurawati Abd Karim, disaksikan oleh Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.

Turut hadir adalah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Amar Huzaimi Md Deris.

NG999 ialah sistem digital strategik bersepadu yang akan meningkatkan perkongsian sumber dan data antara pusat panggilan kecemasan dan agensi pusat yang berkaitan.

Sistem baharu ini menyepadukan peta digital berasaskan web, ID pemanggil, perkhidmatan geolokasi dan aplikasi pintar mudah alih ke dalam pengendalian insiden kecemasan serta masa tindak balasyang menambah baik bantuan kecemasan di seluruh negara.

Amar Huzaimi Md Deris, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM berkata, NG999 ialah satu inisiatif untuk menaik taraf MERS999 sedia ada, yang bakal memberikan bantuan kecemasan yang lebih cekap dan pantas.

“Peranan menyeluruh TM akan meliputi infrastruktur rangkaian dan platform, pengurusan panggilan, dan perkhidmatan sokongan lain, membolehkan kami memberikan sokongan berterusan kepada orang awam dan petugas bantuan kecemasan.

“Peluang untuk menaik taraf perkhidmatan kecemasan kami adalah satu lagi pencapaian dalam komitmen TM terhadap Digital Malaysia dengan memanfaatkan kemajuan kecerdasan buatan (AI), mencerminkan aspirasi kami untuk menjadi Digital Powerhouse menjelang 2030,” katanya.

Bantuan kecemasan di Malaysia telah berubah secara menyeluruh seiring dengan peningkatan penggunaan peranti pintar dan mudah alih. Pelaksanaan sistem NG999 bertaraf dunia ini bergerak selari dengan amalan terbaik antarabangsa terkini seperti European Emergency Number Association NG112 dan National Emergency Number Association NG911 di Amerika Utara.

NG999 juga bakal memanfaatkan teknologi canggih termasuk analisis data dan kecerdasan buatan (AI) untuk menyampaikan bantuan kecemasan dengan lebih berkesan.

Teknologi ini bagi memastikan petugas kecemasan boleh membuat tindakan yang lebih pantas pada saat-saat genting.

Berdasarkan pengalaman pelbagai agensi kerajaan, penguat kuasa undang-undang, petugas bantuan kecemasan dan TM, peningkatan perkhidmatan panggilan
kecemasan ini bukan hanya dari aspek teknologi tetapi turut menekankan komitmen TM dalam melindungi serta berkhidmat untuk rakyat.

Sejajar dengan peningkatan penggunaan telefon mudah alih di negara ini, TM akan memperkenalkan aplikasi baharu untuk NG999 yang membolehkan penggunaan teks, foto dan video untuk pengguna berdaftar.

Ini akan meningkatkan mutu komunikasi antara pemanggil dengan petugas bantuan kecemasan, yang sekali gus mempercepat saluran perkhidmatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast