Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak tidak mahu mana-mana pihak, termasuk parti, ahli dan penyokongnya serta orang ramai, berasa terbeban atau terikat dengan sebarang kewajipan atas namanya dalam menghulurkan sokongan dan bantuan.

Firma guaman, Tetuan Shafee & Co, peguambela dan Peguamcara Najib dalam satu kenyataan berkata, bekas perdana menteri itu amat tersentuh dengan limpahan sokongan yang diterima sejak pengumuman pengampunan bersyarat yang diberikan kepadanya.

Menerusi satu kenyataan, firma guaman itu berkata, Najib merakamkan penghargaan khusus kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri, Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional, kepada ahli-ahli Majlis Tertinggi UMNO, serta kepimpinan dan ahli-ahli UMNO dan Barisan Nasional di semua peringkat, yang sentiasa berdiri teguh bersama beliau.

“Anak guam kami turut berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang telah tampil untuk menawarkan bantuan bagi memenuhi syarat yang ditetapkan. Beliau merasa amat bersyukur dan terharu bahawa begitu ramai yang ingin memberi sokongan dan berdiri bersama beliau.

“Walaupun anak guam kami amat terharu dengan ungkapan solidariti ini, beliau tidak mahu sesiapapun, tidak kiralah Parti, ahli-ahli dan penyokongnya, mahupun orang ramai, berasa terbeban atau terikat dengan sebarang kewajipan atas nama beliau.

“Beliau tetap amat berterima kasih kepada mereka yang, atas kerelaan sendiri dan mengikut kemampuan masing-masing, telah memilih untuk menghulurkan sokongan dan bantuan. Keikhlasan mereka merupakan sumber kekuatan yang amat besar kepada beliau sejak dari dahulu sehingga hari ini,” katanya.

Terdahulu dalam kenyataan tersebut, katanya, Najib menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong XVII, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar atas perkenan Seri Paduka Baginda melaksanakan kuasa prerogatif pengampunan diraja terhadapnya.

Katanya, Najib menerima keputusan Seri Paduka Baginda dengan penuh kesyukuran dan kerendahan hati.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan atas pertimbangan yang diberikan terhadap permohonan beliau.

Bagaimanapun, firma guaman itu memaklumkan, buat masa ini Najib kekal berada di Penjara Kajang sehingga denda RM50 juta yang ditetapkan sebagai syarat pengampunan bersyarat dibayar kepada mahkamah.

Jelasnya, pengampunan yang diperkenankan adalah pengampunan bersyarat dan sepertimana yang dinyatakan dengan jelas dalam pengumuman tersebut.

Pelaksanaan tahanan rumah bagi Najib itu, tambahnya, bergantung kepada pematuhan syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Susulan itu, Najib dan pasukan peguamnya kini sedang meneliti syarat-syarat tersebut serta implikasi praktikalnya.

Jelasnya, buat masa ini sebahagian besar aset, akaun bank dan hartanah Najib masih tertakluk kepada perintah pembekuan dan tindakan penguatkuasaan oleh pihak kerajaan, dan pelupusannya tidak berada sepenuhnya dalam kawalan beliau.

Berikutan itu, katanya, keupayaan Najib untuk memenuhi syarat tersebut bergantung sebahagiannya, kepada perkara-perkara yang berada di luar kawalan beliau.

“Dalam keadaan sedemikian, anak guam kami kini sedang mendapatkan nasihat dan mempertimbangkan pilihan-pilihan yang ada bagi menentukan cara terbaik untuk memenuhi syarat tersebut,” katanya sambil menzahirkan mengucapkan terima kasih Najib kepada ahli keluarga, sahabat handai serta semua pihak yang sentiasa mendoakan beliau.

Katanya, Najib juga memohon agar privasi keluarganya dihormati. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here