Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu bergotong-royong ketika hadir pada program Ibadah Qurban Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Wisma LKIM, Puchong. Foto SADIQ SANI, 20 JUN 2024

PUCHONG – Pengeksportan buah durian ke China tidak terhad kepada jenis durian yang tertentu.

Sebaliknya menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu, semua jenis durian boleh dieksport ke negara tersebut.

Yang penting, katanya, raja buah yang dibawa untuk pasaran di negara itu mempunyai kualiti yang memuaskan.

“Semua jenis durian yang boleh dieksport ke China tidak ada jenis tertentu. Tapi tentulah yang berkualiti, yang diterima apa-apa jenis durian yang diterima di sana,” katanya ketika ditemui di Program Ibadah Korban Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tahun 2024/1445H di sini hari ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.Foto SADIQ SANI, 20 JUN 2024

Semalam, Malaysia dan China memeterai Protokol Keperluan Fitosanitari Pengeksportan Buah Durian Segar.

Ia akan menggalakkan perkembangan industri tanaman buah durian tempatan dan membuka peluang kepada lebih 63,000 pengusaha durian di seluruh negara.

Protokol tersebut dimeterai antara Mohamad dan Menteri General Administration of Customs of the People’s Republic of China (GACC), Yu Jianhua.

Sehubungan itu, beliau menyeru supaya lebih ramai usahawan bumiputera menceburkan diri dalam tanaman pokok durian kerana pasarannya kini meluas dan menguntungkan.

“Kita harap terutamanya petani bumiputera kalau ada modal buat penanaman durian berskala besar sebab nilai eksportnya tinggi dan hari ini New York Times mengeluarkan satu artikel mengatakan penjualan durian boleh cecah billion dollar.

“Jangan takut tidak ada pasaran untuk durian pada masa akan datang,” ujarnya.

Sebagai rekod, dalam tempoh lima tahun bermula 2018 hingga 2022, jumlah nilai eksport durian ke luar negara berkembang sebanyak 256.3 peratus atau peningkatan sebanyak RM822.8 juta.

Pada 2022, eksport durian Malaysia ke seluruh dunia berjumlah RM1.14 bilion.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast