Fadhlina meninjau kelas aktiviti pembelajaran di Sekolah Kebangsaan Sungai Bakap, Pulau Pinang hari ini.

NIBONG TEBAL – Tiada mana-mana sekolah kerajaan diberi layanan istimewa dalam mematuhi Garis Panduan Program Dwibahasa (DLP) yang diperkenalkan baru-baru ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, semua sekolah kerajaan termasuk sekolah berasrama penuh wajib mengikut garis panduan tersebut.

Tegas beliau, pelaksanaan DLP mesti mematuhi dasar “Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI)” serta berusaha mencapai matlamat negara tanpa mengabaikan hak pelajar untuk belajar Matematik dan Sains dalam Bahasa Malaysia atau bahasa ibunda mereka di sekolah vernakular.

“Semua sekolah, termasuk sekolah berasrama penuh mesti rujuk dan mematuhi garis panduan tersebut.

Fadhlina.

“Tiada pengecualian atau kelonggaran akan dibuat berhubung perkara ini (DLP) untuk mana-mana sekolah.

“Kementerian akan membantu sekolah yang mengalami kesukaran melaksanakan garis panduan bagi memastikan pematuhan terhadap program DLP,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas komen yang dibuat Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa Bagi Pendidikan (PAGE), Noor Azimah Abdul Rahim bahawa sekolah elit seperti Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dan Kolej Tunku Kurshiah dikecualikan daripada peraturan baharu DLP.

Terdahulu, Fadhlina menghadiri majlis peluncuran Sekolah Pengajar Program Sahabat Bahasa Institut Pendidikan Guru Malaysia di Sekolah Kebangsaan Sungai Bakap di sini.

Mengulas lanjut Fadhlina berkata, KPM sentiasa komited dalam memastikan peningkatan dan kecekapan berbahasa menerusi MBMMBI.

“Kita menubuhhkan Pasukan Khas Reformasi Pendidikan dengan memperkenalkan Sahabat Bahasa untuk membudayakan dan menyemarakkan pelaksanaan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris secara komprehensif.

“Inisiatif ini dilaksanakan di bahagian KPM, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan institusi pendidikan terdiri sekolah IPG, Kolej Matrikulasi dan Kolej Vokasional,” katanya. – MalaysiaGazette