Ari Kustiawan (baju coklat) dan rakan senegaranya Ripki didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – Dua lelaki warga Indonesia mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan samun berkumpulan dan melarikan wang RM30,000 milik seorang lelaki tempatan pada Mei lalu.

Tertuduh, Ari Kustiawan, 35, dan Ripki, 41, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan secara bersama terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim, Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka secara bersama-sama telah melakukan samun berkumpulan tanpa senjata dengan motosikal terhadap seorang lelaki berusia 65 serta melarikan wang berjumlah RM30,000.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah syarikat di Bandar Perda, Bukit Mertajam, dekat sini, jam 3.20 petang pada 30 Mei lalu.

Kedua-dua tertuduh mengaku bersalah.

Bagi kesalahan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Ketika prosiding, Wan Amira tidak menawarkan jaminan atas faktor kedua-dua tertuduh bukan warga tempatan.

Hakim kemudian bersetuju dengan permohonan itu dan menetapkan 12 Julai depan untuk mengemukakan fakta kes dan hukuman ke atas kedua-dua tertuduh. – MalaysiaGazette