Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Muhammad Fadlan Aiman Mhd Fadzy

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung perlu lebih berhati-hati dan mengetahui batas sesuatu aktiviti dan amalan umat Islam agar keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum terpelihara.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Muhammad Fadlan Aiman Mhd Fadzy berkata, tindakan beliau menyentuh daging korban itu boleh menjejaskan imej masyarakat Islam di Malaysia apabila mengundang kecaman pelbagai pihak.

“Kehadiran Yang Berhormat untuk memberi sokongan, menzahirkan perpaduan dan penglibatan dalam program korban perlu ada hadnya, seperti menyampaikan sumbangan untuk pengurusan aktiviti ibadah korban dan lain-lain.

“Pegawai pengiring beragama Islam perlu lebih cakna berkaitan isu yang akan dibangkitkan. Menutup fitnah dan bual bicara tidak elok itu adalah amalan mulia.

“Fitnah kerana sekeping gambar, amalan tidak elok membuka ruang dan peluang masyarakat berkata-kata dengan perkara tidak sepatutnya. Kemudian keluarkan kenyataan seperti play victim.

“Elakan selagi mampu elak, jangan kita yang beragama Islam ini terjerumus dalam amalan fitnah,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Rabu lalu, Chung menerusi di Facebook miliknya menyuarakan kekesalannya dilabel sebagai kafir yang tidak wajar menyentuh daging korban semasa menghadiri program rewang sempena Hari Raya Aidiladha, baru-baru ini.

Beliau menyifatkan tindakan tersebut berpunca daripada sikap rasis sesetengah pihak sehingga menganggapnya wakil rakyat kaum Cina yang pandai berlakon demi menarik perhatian penduduk Islam.

Fadlan yang juga Pengerusi Biro Agamawan Pemuda UMNO juga menasihatkan netizen supaya semak terdahulu sesuatu perkara dalam media sosial sebelum meninggalkan komen yang boleh merosakan imej agama.

“Komen berbentuk menghina, mencaci dan membuka ruang diri kita terpalit dengan fitnah. Berkomentar dengan cara akhalak dan adab Nabi Muhammad SAW.

“Jadikan bulan Haram ini untuk mendekatkan diri kita dengan Allah SWT, bukan mengurangkan amalan soleh kita,” katanya. – MalaysiaGazette