Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama jemaah selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Tun Abdul Aziz, Petaling Jaya. Foto SADIQ SANI, 21 JUN 2024

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mahu isu berkaitan sebuah syarikat milik pengurus dana, BlackRock dalam sebuah konsortium menguruskan lapangan terbang di Malaysia dijadkan wayang politik.

Beliau berkata, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) ada membuat kenyatan lengkap berhubung perkara itu meskipun ada pihak kurang bersetuju mengenainya.

“Khazanah ada buat kenyataan lengkap, baik ada yang kurang bersetuju tak apa, ada hak tak bersetuju.

“Tapi, jangan jadikan ini wayang politik untuk mengasuh kita. Bagi tahu saya apa lagi cara boleh buat untuk Gaza,” katanya kepada pemberita selepas selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Tun Abdul Aziz, di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian mengulas mengenai isu berkenaan yang sering dimainkan pembangkang susulan dakwaan terbabit dengan Israel.

Mengulas lanjut Anwar berkata, kerajaan telah bertegas untuk membatalkan kerjasama dengan semua syarikat yang beroperasi di Israel.

Namun katanya tindakan sama tidak boleh diambil bagi syarikat-syarikat berkaitan Israel yang beroperasi di negara lain buat masa ini bagi memastikan ekonomi negara tidak terjejas.

“Saya putuskan batalkan kerjasama dengan semua syarikat Israel yang operasi dari Israel, syarikat yang ada operasi di Amerika, di Jerman, di China, tapi ada kaitan dengan Israel, tiada upaya kita dalam keadaan sekarang membatalkan kerana akan menjejaskan ekonomi negara,” katanya.

“Jadi, sementara saya akan keras memperjuangkan dan membela nasib rakyat Palestin khususnya di Gaza berdepan dengan siapa sahaja, tapi saya tidak mahu melemahkan kekuatan ekonomi negara. Kalau syarikat itu syarikat-syarikat dari israel, saya tetap tegas,” katanya. – MalaysiaGazette