Mohd. Muhaimin Mohamad. Foto FB KDN FC.

KUALA LUMPUR – Penjaga gol pasukan Kelantan Darul Naim FC, Mohd. Muhaimin Mohamad optimis pasukannya mampu menjelmakan tiga mata pertama dalam pertemuan menentang PDRM FC di Stadium Sultan Muhammad ke-IV pada Ahad ini.

Kelantan yang berada di tangga ke-12 dalam saingan Liga Super musim ini selepas mencatat tiga kekalahan bagaimanapun nekad untuk memburu kemenangan ke atas PDRM sekaligus memastikan tiga mata pertama dapat diraih skuad kijang emas ini.

Penjaga gol berusia 32 tahun ini menyifatkan, hanya kemenangan sahaja mampu dijadikan motivasi terbaik sekaligus membuka peluang untuk Kelantan kembali bersaing sengit dalam aksi Liga Super musim ini.

Muhaimin dalam satu temubual juga menegaskan, meskipun dia beraksi dengan baik dalam perlawanan Piala FA menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) minggu lalu, dia masih belum berpuas hati dan menyifatkan bolos empat gol dalam pertemuan menentang JDT adalah satu rekod yang tidak memuaskan sebagai penjaga gol.

“Bagi setiap penjaga gol, bolos sebanyak empat biji secara peribadi adalah satu jumlah yang sangat banyak” jelas Muhaimin.

Dia turut menjelaskan, meskipun rata-rata peminat pasukan itu berpuas hati dengan corak permainan yang ditampilkan anak buah Park Jae-hong yang dilihat lebih baik pada musim ini.

Namun sebagai pemain dia mengakui keputusan perlawanan adalah penting juga untuk memastikan pasukan ini dapat terus bersaing dengan pasukan lain pada musim ini.

Tambahnya, masih banyak aspek yang perlu ditambah baik dalam pasukan Kelantan musim ini dan salah satunya adalah barisan pertahanan yang perlu bekerja keras untuk tidak dibolosi terlalu banyak dalam setiap perlawanan.

Ujarnya lagi, meskipun Kelantan sudah dibolosi sebanyak tujuh gol dari tiga perlawanan awal dalam Liga Super musim ini namun dia dan rakan-rakannya akan berusaha lebih keras untuk memastikan pasukan ini akan bertambah baik.

“Mungkin kita sudah bolos tujuh gol pada musim ini namun bagi saya percaya kami mampu untuk lakukan yang lebih baik untuk perbaiki kelemahan ini” ujar Muhaimin.

“Mungkin kita sudah bolos tujuh gol pada musim ini namun saya percaya kami mampu untuk lakukan yang lebih baik untuk perbaiki kelemahan ini,” ujar Muhaimin. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here