Pemandu van kilang tersepit, penunggang motosikal cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Balik Pulau, Pulau Pinang hari ini.

BALIK PULAU – Pemandu sebuah van kilang terlibat dalam kemalangan membabitkan bas kilang dan motosikal selepas membuat pusingan U sesuka hati di Jalan Bukit Lama, Kampung Genting, di sini, awal pagi tadi.

Kejadian jam 5.40 pagi itu mengakibatkan pemandu tersebut tersepit dalam kenderaannya manakala penunggang motosikal pula, mengalami kecederaan ringan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Balik Pulau, Mohd Faris Mansor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 5.44 pagi.

Jelasnya, seramai lapan anggota diketuai Isparizan Ishak termasuk Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bergegas ke lokasi susulan panggilan tersebut.

Pemandu van tersebut tersepit di tempat duduknya akibat kemalangan tersebut.

“Sebaik tiba, kita dapati kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu van kilang, bas kilang dan motosikal jenis Yamaha LC135.

“Pihak kami difahamkan, pemandu van tersebut  dalam perjalanan menghala ke Balik Pulau telah membuat pusingan- U di kawasan yang tidak sepatutnya sebelum merempuh bahagian belakang bas kilang yang menghala ke Bayan Lepas.

“Susulan itu, penunggang motosikal yang menghala laluan sama dikatakan gagal memberhentikan kenderaannya lalu merempuh van terbabit,” katanya, hari ini.

Tambah beliau, impak kemalangan itu menyebabkan pemandu van tersepit di bahagian tempat duduk manakala penunggang motosikal pula mengalami cedera ringan.

“Kita mengambil masa selama kira-kira 13 minit untuk mengeluarkan mangsa berusia 30-an itu menggunakan peralatan khas.

“Mangsa dan penunggang motosikal diberi rawatan awal di lokasi sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette