KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO membantah penjualan saham 30 peratus Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) kepada syarikat yang mempunyai kaitan dengan Israel iaitu Blackrock melalui Global Infrastructure Partners (GIP).

Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, walaupun entiti tempatan seperti  Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mempunyai pegangan 70 peratus namun pegangan konsortium didominasi GIP.

“Pegangan 30 peratus dikuasai GIP dan pihak berkuasa pelaburan Abu Dhabi (Adia). Namun, pegangan Consortium GIP-Adia (GIP Aurea) akan semestinya didominasi oleh GIP.

“Penjualan ini secara langsung akan mendedahkan aset berkepentingan nasional dan awam kepada pihak yang rapat dan mempunyai simpati kepada agenda Zionis,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu media melaporkan GIP berkata pembelinya Blackrock tidak akan terlibat dalam penswastaan MAHB selepas kritikan di Malaysia, negara majoriti Islam berhubung dakwaan firma Amerika Syarikat itu dengan Israel.

Menurut Dr Akmal, langkah itu bertentangan dengan pendirian Malaysia yang telah dinyatakan dalam Persidangan Peringkat Tinggi “Panggilan Untuk Bertindak: Respons Kemanusiaan Segera untuk Gaza” oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan pada 1 Jun lalu.

“Selain itu, ia juga memberi ruang kepada pro-zionis mengetahui dan terlibat sama dalam mengurus aset berkepentingan nasional dan awam.

“Oleh demikian, Pemuda UMNO Malaysia membantah langkah kepada usaha penjualan 30 peratus saham dan menggesa Kerajaan Malaysia untuk menghentikan usaha tersebut,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here