Timbalan Perdana Menteri dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Sri Zahid Hamidi bercakap selepas mengadakan pertemuan tertutup bersama wakil MOONTON Games dan tiga pasukan sukan elektronik iaitu Selangor Red Giants, Homebois dan Gaimin Gladiators Homegirls di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. Foto SYADILA AMARI, 21 JUN 2024.

PUTRAJAYA – Kerajaan akan memilih sebuah institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk mentranformasikannya sebagai pusat latihan TVET sukan elektronik atau e-Sports.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia bertujuan untuk mengenalpasti dan menggilap bakat baharu serta berkaliber dalam sukan e-sports yang semakin berkembang dalam kalangan golongan belia.

Katanya, sebelum ini beliau pernah menyarankan kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh tentang penyediaan latihan khusus bagi sukan elektronik menerusi program khas TVET untuk menggilap bakat-bakat tempatan dalam kalangan anak-anak muda.

“Ia (institusi) TVET adalah untuk melatih generasi muda yang terlibat dalam e-sports ini agar mereka dapat dilatih dan digilap sebagai seorang pemain professional sukan elektronik itu.

“Bagi tujuan itu kami di pihak kerajaan berhajat untuk mewujudkan ikon e-sports di peringkat dunia yang mana potensinya cukup baik,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan peserta dan penganjur Mid Season Cup Mobile Legend Bang Bang (MLBB) 2024 – Moonton Games Malaysia di pejabatnya, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau yang Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kandungan yang disediakan oleh kedua-dua pasukan dan penganjur berkenaan yang bakal membawa cabaran negara ini sangat menggalakkan.

“Setakat ini, mereka mempunyai lebih daripada 10 kandungan permainan yang berimejkan Malaysia seperti badang dan banyak lagi kandungan mereka akan sediakan yang mana pihak kerajaan seharusnya mendokong hasrat anak muda ini,” ujarnya.

Menurut Ahmad Zahid, tujuan pertemuan pasukan yang mewakili Malaysia ke MLBB di Riyadh, Arab Saudi adalah tanda sokongan kerajaan kepada pasukan-pasukan yang mewakili negara.

Selain menyediakan piala kejohanan, kejohanan tersebut turut menawarkan hadiah wang tunai sebanyak AS$3 juta dan AS$500,000 masing-masing untuk juara pasukan lelaki dan wanita.

“Oleh kerana e-Sports adalah sesuatu yang berjaya menarik perhatian jutaan peminat bukan sahaja di dalam negara kita malah di seluruh dunia apatah dalam MEL (Malaysia ESports League) lalu, jumlah penonton atau ‘viewers’ telah mencapai angka 20 juta penonton dan harus jadi dokongan kerajaan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here