KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Tan Sri Dr Rais Yatim menerusi Yayasan Budi menyampaikan sumbangan sebanyak RM9,000 bagi membantu pelakon popular era 80-an, Dharma Harun Al-Rashid yang kini berdepan kesempitan hidup.
Rais berharap sumbangan wang tunai yang diberikan dapat meringankan beban pelakon itu melangsaikan tunggakan sewa rumah yang mencecah RM7,500.
“Apabila membaca keratan berita beliau yang sedang menghadapi kesukaran untuk menyelesaikan sewaan rumah, saya terus menghubungi Datuk Freddie Fernandez untuk menemukan kami.
“Jadi dengan sumbangan diberikan oleh Yayasan Budi ini kami harap dapat membantu Dharma untuk menjelaskan tunggakan sewanya,” katanya memetik laporan Metro Online.
Turut hadir dua anak pelakon veteran itu iaitu Siti Qurratu Aini, 36, dan Muhammad Al Syafiq Mohamad Azman, 35, serta Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez.
Dalam pada itu, Dharma meluahkan rasa terharu apabila masalah yang dihadapi mendapat perhatian ramai termasuk Rais.
“Alhamdulillah sumbangan yang diperolehi ini akan saya gunakan untuk melangsaikan benda yang paling penting iaitu sewa rumah.
“Saya tak berhasrat untuk keluar dari kediaman itu kerana kalau nak berpindah pun memerlukan kos yang bukan sedikit.
“Proses berpindah juga bukan mudah, jadi saya akan terus tinggal di sini saja. Saya berterima kasih kepada semua pihak yang tampil membantu.
“Sejak kisah kami sekeluarga menjadi tular, banyak pihak yang tampil untuk membantu,” katanya.
Terdahulu, Dharma yang pernah popular dengan watak Cikgu Azmi dalam filem Adik Manja terpaksa akur dengan arahan mengosongkan kediaman yang disewanya di Wangsa Maju pada hujung Jun ini selepas gagal membayar sewa tertunggak.
Pelakon yang pernah berhadapan masalah kesihatan akibat diserang angin ahmar difahamkan kusut memikirkan bagaimana dia hendak melunaskan tunggakan sewa rumah mencecah RM7,500 berikutan notis sudah dikeluarkan oleh pemilik.
Menurut Dharma, dia dan dua anaknya perlu melunaskan tunggakan bayaran sewa itu segera, namun anaknya tidak bekerja kerana masih belajar di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara). – MalaysiaGazette