Peguam mewakili gabungan penduduk, Mohammed Nasser Yusof .

KUALA LUMPUR.  – Jawatankuasa Gabungan Memelihara Kolam Takungan Banjir Kampung Bohol tidak berpuas hati dengan pembayaran premium tanah yang ditawarkan pemaju adalah rendah daripada harga pasaran semasa di kawasan Taman Kinrara, di sini.

Peguam mewakili gabungan itu, Mohammed Nasser Yusof berkata, rata-rata penduduk di sini terkejut dengan tawaran yang diberikan pihak pemaju iaitu RM74 bagi satu kaki persegi (kps) berbanding lebih RM200 kps mengikut harga pasaran hartanah.

Terdahulu, beliau mendengar taklimat daripada wakil Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PTGWP) yang memaklumkan bahawa PTGWP telah menerima bayar premium harga tanah ditawarkan itu menerusi keterangan lisan.

“Melalui maklumat diperoleh PTGWP, pemaju dalam projek tender kolam takungan banjir ini perlu membayar RM41 juta (premium tanah) dan kos pembangunan semula kolam pula adalah RM40 juta, jadi jumlah kos yang akan dikeluarkan oleh pemaju projek itu lebih kurang RM81 juta.

“Ini bermaksud, tanah yang diperolehi oleh pemaju untuk 25 ekar (tanah yang dibangunkan) iaitu 43,560kps bagi satu ekar, jadi jatuh pada RM74 kps, sedangkan harga pasaran pada hari ini sekitar kawasan yang anda tinggal (Taman Kinrara) adalah RM200 hingga RM300 kps,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas perjumpaan dengan lebih 40  penduduk di kawasan Taman Kinrara, di sini, hari ini.

Tambahnya, terlalu jauh jurang antara harga tanah premium yang dibayar pemaju dengan harga pasaran dan perjanjian itu juga  akan mewujudkan ‘kos lepas’ pada kerajaan berjumlah lebih RM100 juta.

“Berdasarkan kiraan tersebut, kerajaan dan orang awam rugi kira-kira RM138.60 satu kaki persegi atau RM136.8 juta untuk 25 hektar tanah.

“Apakah kewajaran pihak berkuasa menawarkan harga serendah RM74 satu kaki persegi? Apakah kriteria untuk harga serendah ini? Penduduk mahu tahu,” jelasnya.

Pada 16 Mei lalu, Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa berkata kerajaan menjadikan ‘syarat mandatori’ kepada pemaju untuk menaiktaraf kolam takungan banjir sebelum arahan pembangunan dikeluarkan.

Kemudian, Timbalan Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan, Firdaus Ibaruslan memaklumkan langkah itu menjimatkan perbelanjaan kerajaan kerana projek naik taraf itu menelan belanja RM40 juta tetapi kos itu kini ditanggung pemaju.

Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Kinrara, Alvin Lee.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Kinrara, Alvin Lee mendesak kerajaan untuk mempertimbangkan semula cadangan tersebut.

Katanya, alasan pembangunan baru akan meningkatkan kesesakan trafik dan risiko banjir di kawasan terbabit.

“Kami berharap tiada lagi pembangunan di kawasan ini kerana kami tidak mahu berdepan lagi dengan banjir. Setiap kali hujan saya dan keluarga sering bimbang berlakunya banjir,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here