Calon Pakatan Harapan, Dr Joohari Ariffin bercakap pada sidang media semasa sesi Ramah Mesra bersama Media Arus Perdana di Pusat Nadi Sungai Bakap, Pulau Pinang. Foto AIZAT ZAINAL, 23 JUN 2024.

NIBONG TEBAL – Calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin beriltizam mengembalikan kepercayaan pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap terhadap Kerajaan Perpaduan.

Ia susulan kenyataan Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Nur Ayuni Mohd Isa  menyifatkan 1,563 majoriti undi yang dimenangi penyandang kerusi itu daripada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lalu sebagai ‘kawasan kelabu’.

Joohari berkata, pihaknya yakin mampu memutihkan semula kawasan kelabu terbabit susulan kedatangan jentera yang kuat dari seluruh negara.

“Tidak mustahil 1,563 (majoriti undi) yang pada penganalisis politik itu jumlah yang kelabu.. bukan putih, bukan hitam tetapi kita akan pastikan yang kelabu itu dapat kita putihkan.

“Kita memberi tumpuan kepada Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang ada tertutamanya di kawasan Puteri Gunung yang mempunyai jumlah pengundi paling ramai iaitu melebihi 13,000 pengundi.

“Jika kita boleh meyakinkan pengundi kawasan di sini untuk mengundi kita, saya rasa kita boleh ‘cover’ (majoriti undi) dah,” kepada pemberita pada sesi ramah mesra bersama media di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Joohari percaya pengundi sebelum itu mempunyai sebab-sebab tertentu memilih PN berbanding PH namun kini presepsi itu mungkin berubah memandangkan kerajaan negeri dan pusat kini selari.

“Kita (PH) tak pernah lagi kalah sebelum ini dan hantar ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) ke DUN (Dewan Undangan Negeri).

“Hanya tahun lepas (tidak hantar kerana kalah pada PRN) yang ia mungkin disebabkan isu sentimen (dibawa PN), kepercayaan dan persepsi (terhadap Kerajaan Perpaduan).

“Jadi (PRK Sungai Bakap) kita kena betulkan balik persepsi kerana kita nak bawa balik supaya pengundi percaya kepada kita. Oleh sebab itu, kita kena kerja keras, beri maklumat yang tepat kepada masyarakat supaya mereka memilih orang yang betul,” katanya. – MalaysiaGazette