KUALA LUMPUR – Pemilihan tema berkonsep Piala Dunia Brazil membawa tuah kepada pasukan rumah hijau Sekolah Rendah Danau Kota 2 (SKDK2) di sini apabila meraih gelaran juara acara perbarisan pada kejohanan olahraga tahunan kali ke-17 di sini hari ini.
Guru rumah sukan itu, Farah Nur Amira Natasha Asmadi berkata, walaupun mempunyai masa kurang 10 hari untuk melatih koreografi serta formasi persembahan, dia tetap berpuas hati dengan semangat dipamerkan anak muridnya.
“Walaupun berdepan masalah pertukaran ahli pada saat akhir, kerjasama dari semua guru sangat baik. Malah ada yang sanggup mengeluarkan perbelanjaan sendiri bagi membantu persiapan pasukan.
“Sasaran kami hendak buat sesuatu (tema) yang meriah supaya murid-murid dapat bergembira sekali. Jadi kita ambil (perayaan) Brazil kerana banyak lagu yang rancak,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Farah Nur Amira, pasukan yang disertai seramai 30 orang murid itu berlatih koreografi selama tiga jam sehari sebagai persediaan acara perbarisan yang diadakan di Kompleks Sukan Majlis Sukan Negara Setiawangsa.
“Usaha ini berbaloi dan kami akan cuba mempertahankan kemenangan ini pada tahun hadapan,” katanya.
Sementara itu, Pengetua SKDK2, Hazizan Hussain berkata, perkara yang penting selain dari memenangi acara dan pingat adalah memupuk yang disiplin yang tinggi kepada murid.
Pada acara tersebut, pasukan rumah hijau membawaw tema pesta tarian samba yang sinonim di jalanan ibu kota Brazil, Rio De Janeiro.
Selaku juara perbarisan, pasukan rumah hijau memenangi wang tunai RM350 beserta piala pusingan selepas menewaskan rumah biru yang membawa tema perayaan hari raya di tempat kedua manakala rumah kuning dan merah terpaksa berpuas hati di tempat ketiga dan keempat.
Pada kejohanan itu, pasukan rumah kuning menggondol gelaran juara keseluruhan selepas mengutip 66 pingat (29 emas, 20 perak, 17 gangsa), manakala naib juara, rumah merah dengan kutipan sebanyak 63 pingat, rumah hijau ketiga (56 pingat) dan rumah biru keempat (50) pingat.
Anugerah olahragawan dan olahragawati bagi tahun 2024 dimenangi oleh S Yuyian dan Nur Adriana Kameelya Khairudin. – MalaysiaGazette