KUALA LUMPUR – Sebanyak 652 kemalangan melibatkan pelbagai jenis kenderaan berat berlaku sepanjang suku pertama tahun ini.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Hasni Habibollah berkata, ia merangkumi 287 kes maut, 95 cedera parah dan selebihnya cedera ringan.
“Untuk makluman, kemalangan yang melibatkan kenderaan berat di Malaysia berpunca dari kecuaian pemandu yang mengantuk; memandu melebihi had laju yang dibenarkan; kenderaan yang membawa lebih muatan dan kenderaan yang tidak diselenggara dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh yang meminta statistik kemalangan berat tahun ini.
Beliau juga meminta Kementerian Pengangkutan menyatakan langkah untuk mengurangkan kemalangan melibatkan kenderaan berat.
Menjawab soalan berkenaan, Hasni berkata kementeriannya bersama-sama Kementerian Kerja Raya (KKR) sedang membangunkan sistem “High Speed – Weigh in Motion” atau HS-WIM.
Jelas beliau, menerusi sistem tersebut aktiviti penguatkuasaan kenderaan berat boleh dilaksanakan pada masa sebenar atau automatik tanpa memerlukan kenderaan tersebut perlu berhenti untuk ditimbang.
Katanya lagi, ia akan menjadi penyelesaian jangka masa panjang dalam menangani isu had muatan kenderaan berat.
“Penggunaan sistem HS-WIM juga akan dapat mengurangkan
kebergantungan kepada jumlah tenaga manusia atau anggota
penguatkuasaan yang tinggi. Anggota penguatkuasa akan boleh
melaksanakan aktiviti penguatkuasaan di lokasi-lokasi lain yang tidak dipasang sistem HS-WIM tersebut.
“Akhirnya, sistem HS-WIM ini dijangka dapat memperluaskan capaian, meningkatkan pematuhan dan memperkukuhkan lagi keberkesanan penguatkuasaan ke atas peraturan had muatan kenderaan motor,” tambahnya.
Sementara itu Hasni berkata, 45,015 notis saman telah dikeluarkan melibatkan kesalahan muatan bahaya dan lebih muatan pada tahun lalu.
Manakala bagi tahun 2024 sehingga April, sejumlah 9,214 notis saman telah dikeluarkan. – MalaysiaGazette