Saifuddin Nasution Ismail

PUTRAJAYA – Lapan individu, termasuk seorang pensyarah, yang disyaki menjadi anggota kumpulan Daesh dan Islamic State (IS) ditahan polis dalam serbuan di empat negeri pada 22 dan 23 Jun lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, siasatan awal PDRM terhadap suspek mendapati wujud ancaman terhadap Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri, beberapa orang kenamaan dan pimpinan tertinggi polis.

“Kesemua suspek yang berusia lingkungan antara 25 hingga 70 tahun itu ditahan berpandukan peruntukan undang-undang iaitu Bab VIA-Kesalahan-Kesalahan Berkaitan Keganasan,Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat di Bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 SOSMA,” katanya pada sidang media di kementeriannya, di sini, hari ini.

Tangkapan dilakukan dalam operasi yang dijalankan secara serentak oleh pasukan Cawangan Khas E8 (Counter Terrorism) Bukit Aman di Pulau Pinang, Kelantan, Selangor dan Johor.

Ia merupakan operasi susulan yang dilakukan pada 15, 17 dan 30 Mei lalu.

Menurut Saifuddin, suspek terdiri daripada enam lelaki dan dua wanita dengan pelbagai latar iaitu penganggur, suri rumah, pekerja binaan dan bekas pensyarah.

Ditanya mengenai hubungan suspek dengan serangan balai polis di Ulu Tiram, Johor baru-baru ini, Saifuddin berkata, siasatan dijalankan Cawangan Khas E8 (Anti Keganasan) Bukit Aman.

Sementara itu, beliau mengingatkan orang ramai agar prihatin dan peka terhadap ancaman dalam bentuk baharu menerusi elemen ekstremisme, radikalisme dan keganasan yang menyalahgunakan teknologi moden dengan menjadikan media sosial medium menyebarkan fahaman yang berbahaya itu.

Katanya, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mereka yang menjadi penghasut, pelaku, penyokong dan pemberi simpati kepada kumpulan ekstremisme, radikalisme dan keganasan dengan mengenakan tindakan keras. – MalaysiaGazette