Akmal Nasrullah Mohd Nasir (kiri) dan Muhammad Sanusi Md Nor.

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor terbuka untuk menyahut cabaran bermain bola sepak dengan Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Bagaimanapun menurut beliau, Akmal Nasrullah perlu turun berkempen di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap di Pulau Pinang dengan menggunakan perbelanjaan sendiri.

Muhammad Sanusi berkata, Akmal Nasrullah tidak seharusnya menggunakan perbelanjaan kementerian melawat loji rawatan air (LRA) tetapi pada masa sama berkempen untuk PRK DUN Sungai Bakap.

“Boleh kalau nak lawan bola tetapi sila datang kempen dengan belanja sendiri bukan menumpang belanja kementerian atas alasan lawat LRA,” kata Muhammad Sanusi dalam media sosial.

Akmal Nasrullah sebelum ini dilaporkan menjemput Muhammad Sanusi bersama pasukannya untuk turun bermain bola sepak Ahad depan dan berbincang apa jua isu rakyat termasuk isu berkaitan air.

Beliau menyampaikan jemputan itu  ketika berucap pada Ceramah Perpaduan PRK N20 Sungai Bakap malam tadi.

“Di ceramah Sanusi berani tapi ajak turun ke bawah tak berani kerana banyak hal air di Kedah tak selesai. Ini jemputan terbuka buat ‘Panglima Perang Kedah’ untuk beliau bersama pasukannya bermain bola sepak dengan kami dari PH.

“Selalu beliau marah dengan saya bila buat lawatan di Kedah tidak jemput beliau sekali tetapi kali ini saya nak jemput beliau (bermain bola sepak) dan kita bincang cara nak menyelesaikan masalah rakyat jelata,” kata Akmal Nasrullah.

Akmal Nasrullah dalam ucapannnya turut menjemput Muhammad Sanusi untuk turut sama dalam lawatan ke dua buah loji rawatan air di negeri itu bagi meninjau perkembangan terkini kerja-kerja pembinaannya yang mengalami kelewatan.

Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, jemputan itu telah dimaklumkan lebih awal kepada Kerajaan Negeri Kedah dan Syarikat Air Darul Aman (SADA) sebelum ini bagi meninjau Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Selambau dan LRA Sungai Limau.

Menurutnya, kerja-kerja pembinaan kedua-dua LRA yang dikawal selia dan dipantau kerajaan negeri itu mengalami kelewatan 30 dan 50 peratus daripada jadual yang ditetapkan.

Bagaimanapun, katanya, mengikut anggaran penyerahan projek terbaru, kedua-dua projek berkenaan sepatutnya siap pada April lalu dan penghujung Jun ini namun beliau yakin kedua-dua projek itu masih lagi bermasalah.- MalaysiaGazette