NIBONG TEBAL – Resipi ‘rahsia’ turun temurun hampir lima dekad lalu membuatkan ‘Cendol Ali’ sentiasa menjadi tumpuan penduduk Sungai Bakap khususnya penggemar pencuci mulut tradisional itu.
Menurut Amir Shah Ali Mohamad, 48, mengekalkan kaedah lama dalam menghasilkan cendol sendiri serta rasa keenakan membuatkan gerainya menjadi pilihan pelanggan tetap.
Jelas bapa kepada empat cahaya mata, antara rahsia lain perniagaannya termasuk tidak pernah lupa untuk berselawat bermula dari proses cendol sehingga menjualnya kepada pelanggan.
“Saya merupakan generasi kedua yang menguruskan perniagaan peninggalan ayah yang diusahakan sejak 1977.
“Sewaktu zaman kanak-kanak, saya selalu mengikuti bapa menjual cendol, kemudian pada usia 18 tahun saya mewarisi perniagaannya dan kini turut dibantu dua anak lelaki saya.
“Kebanyakan pelanggan yang datang masih mengatakan rasanya sama seperti arwah ayah membuatkan saya masih mampu meneruskan legasi tersebut sehingga ke hari ini,” katanya ketika ditemui.
Mengulas mengenai hasil jualan, Amir Shah berkata, lebih seratus mangkuk boleh dijual setiap hari dengan tempoh perniagaan bermula jam 11 pagi hingga 4 petang.
“Asalnya cendol ini dijual pada harga 30 sen dan kadarnya meningkat mengikut peredaran zaman yang kini mencecah RM3 hingga RM4 mengikut jenis iaitu biasa atau ditambah pulut,” katanya.
Sementara itu, pelanggan tetap, Salman Mohd Safar, 53, berkata, Cendol Ali tetap menjadi pilihannya meskipun sudah berpindah ke Perlis.
“Setiap kali balik kampung untuk ziarah ibu mesti saya singgah sini. Adakalanya, belum sempat balik rumah singgah dulu kerana keenakan cendol ini tiada tandingan.
“Meskipun sudah merasai cendol di tempat lain namun cendol ini tetapi menjadi pilihan dan saya juga sering mencadangkan cendol ini kepada kenalan luar Sungai Bakap,” katanya
Bagi guru, Mazni Ahmad, 55, pula, dia mula makan cendol tersebut sejak di bangku sekolah rendah lagi memandangkan ia merupakan pencuci mulut kesukaan ayahnya.
“Tak terkira berapa kali saya datang ke sini untuk makan tapi yang pasti kalau lalu jalan ini dan gerai buka mesti saya dan suami akan singgah.
“Rasa cendol ini lemak kerana menggunakan santan asli dan saya belum jumpa cendol lain sesedap ini,” katanya. – MalaysiaGazette