Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu menahan reman tiga individu, termasuk dua pegawai penguat kuasa kanan, kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah berjumlah kira-kira RM30,000 daripada seorang lelaki.

Suapan tersebut adalah sebagai balasan melepaskan rakan lelaki tersebut yang ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurut sumber, ketiga-tiga suspek yang terdiri daripada seorang wanita dan dua lelaki berusia dalam lingkungan 30 dan 40-an ditahan antara jam 2 hingga 5.30 petang semalam ketika diminta hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Terengganu.

Susulan penahanan itu, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pagi tadi dan perintah reman selama lima hari bagi dua pegawai penguat kuasa kanan bermula hari ini sehingga 28 Jun ini manakala seorang lagi suspek di reman selama empat hari juga bermula hari ini sehingga 27 Jun 2024 dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar, Yuhanis Mohd Roslan.

“Kesemua suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2021 dan ketika itu dua pegawai penguat kuasa kanan ini bertugas di sebuah daerah di Terengganu.

“Siasatan awal mendapati duit rasuah tersebut disyaki digunakan oleh salah seorang suspek yang kini bertugas di sebuah daerah di Kedah dan isterinya untuk pelaburan judi secara dalam talian,” katanya.

Menurut sumber, siasatan juga mendapati wang tersebut pada awalnya dipercayai telah dimasukkan ke dalam akaun pihak ketiga sebelum dipindah ke akaun milik isteri suspek.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Beliau tidak menolak kemungkinan bahawa beberapa tangkapan susulan mengenai kes ini akan dibuat. – MalaysiaGazette