Che Murad (tiga DARI Kiri) selepas merasmikan Program Pendigitalan Usahawan Desa (PPU) Siri 2 Zon Selatan bersama 186 usahawan desa di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka hari ini.

MELAKA – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menggesa usahawan luar bandar kembali kepada asas perniagaan iaitu memastikan produk makanan dijual mencapai standard jualan dan bukannya berkualiti rendah atau ‘cokia’.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KKDW, Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata, faktor pembungkusan yang menarik sahaja bukanlah ukuran sesuatu produk makanan itu mampu bertahan lama di pasaran.

“Mindset (cara pemikiran) usahawan ini yang kena tukar kerana kita tak mahu usahawan luar bandar yang ‘cokia’ sebaliknya perlulah setanding jenama besar.

“(Jangan) sibuk dengan pensijilan sahaja tapi perlu berbalik kepada asasnya iaitu rasa yang sedap,” katanya dalam ucapan perasmian Program Pendigitalan Usahawan Desa (PPU) Siri 2 Zon Selatan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini hari ini.

Che Murad Sayang Ramjan

Mengulas lanjut Che Murad berkata, semua usahawan perlu mempunyai inisiatf untuk memajukan perniagaan dan bukannya hanya bergantung kepada pelbagai inisiatif program bimbingan dan latihan daripada kerajaan semata-mata.

“Kena ada disiplin, tapi kalau mereka tak nak berubah, maka sia-sialah usaha yang dilakukan kerajaan untuk membantu mereka.

“Sebab itu kena sentiasa nilai semula produk mereka adakah mencapai standard dalam pasaran atau sekadar biasa-biasa sahaja,” tambahnya.

Jelas beliau, PPU Siri 2 hari ini menyaksikan seramai 186 usahawan desa mendapat pendedahan secara langsung serta praktikal untuk beralih kepada teknologi baharu dan pendigitalan.

Selaras dengan perkembangan transformasi digital yang pesat ini, kementerian turut mengambil inisiatif memperkenalkan penggunaan teknologi pintar iaitu Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dan Kecerdasan Pengguna (CI) dalam pelaksanaan program ini.

“Selain itu, PPU di bawah Program Desamall adalah inisiatif tambahan KKDW untuk merapatkan jurang digital dan meningkatkan produktiviti dan kecekapan antara 10 hingga 30 peratus selepas tempoh setahun memasarkan produk dalam talian,” katanya.

Pada majlis itu, beliau turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Desamall dan rakan strategik PPU yang baharu iaitu Lalamove, Dattle dan Beez.

Sebanyak lima siri jelajah PPU dirancang KKDW di seluruh negara sehingga akhir tahun ini untuk mencapai sasaran mendigitalkan seramai 1,200 usahawan desa.

Program yang dilaksanakan sejak dua tahun lalu ini telah memberi manfaat kepada seramai 2,524 usahawan desa. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here