Gambar hiasan. Foto MALAYSIAGAZETTE.

KOTA BHARU – Seorang jurulatih Muay Thai didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas empat pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan serta pecah rumah.

Muhammad Haziq Aiman Azhar, 25, mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Muhammad Haziq Aiman didakwa merogol seorang remaja berumur 17 tahun di sebuah rumah di Bachok dekat sini pada 4 pagi sekitar Januari 2024 dan 9 April lepas.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja sama di lokasi serupa pada 5.45 pagi, 3 Jun lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama, masing-masing memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Muhammad Haziq Aiman juga didakwa melakukan pecah rumah didiami remaja itu untuk menyerang mangsa secara seksual pada 5.45 pagi, 3 Jun lepas mengikut Seksyen 455 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 14 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Faiz Fitri Mohamad tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh atas alasan kesalahan tersebut sangat serius kerana melibatkan mangsa bawah umur.

Mahkamah menetapkan 24 Julai depan untuk sebutan semula kes bagi lantikan peguam. – Bernama

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here