Fleksibiliti tanpa had dalam menilai saham syarikat di platform ECF boleh membawa kepada penilaian yang tidak adil (Austin Distel - Unsplash)

Oleh: Dr Mohamed Hisham Hanifa, Prof Madya Dr Anna Azriati Che Azmi

PENDANAAN awam berasaskan ekuiti (ECF) adalah pasaran berbentuk dua hala yang
bertujuan untuk menghubungkan usahawan dengan pelabur. Platform ini membolehkan
usahawan mengiklankan perniagaan permulaan mereka di laman web. Ahli platform ini
boleh melihat peluang pelaburan tersebut dan kemudian memutuskan sama ada untuk
melabur berdasarkan syarat yang dicadangkan dalam dokumen pelaburan. Bergantung
kepada struktur platform, pelaburan memberi hak kepada pelabur dari ahli platform tersebut untuk membeli saham secara langsung dari perniagaan usahawan ini. Di Malaysia ECF dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC). ECF harus menjadi pilihan pembiayaan alternatif yang berdaya maju untuk meningkatkan pemulihan PKS.

Berdasarkan Laporan Tahunan 2022, Malaysia Co-Investment Fund (MyCIF), jumlah dana
yang diperoleh daripada ECF telah berjaya membuat sebanyak 241 kempen dan
mendapatkan dana untuk pelaburan sebanyak RM461 juta. 100% daripada dana ECF yang
dikumpulkan oleh industri PKS. Pada tahun 2022, 28% daripada kempen dilancarkan
dengan ECF ini adalah untuk perniagaan di luar lembah Klang, 8% adalah berlandaskan
Shariah dan 26% adalah kempen di dalam industri pertanian.

Walau bagaimanapun, terdapat kebimbangan mengenai permintaan mendadak dalam
pasaran ECF, yang boleh menghakis keyakinan pelabur. Salah satu daripadanya ialah
keperluan mendesak untuk amalan penilaian saham yang adil. Penilaian saham adalah
sangat penting di ECF, bukan sahaja semasa fasa penjanaan modal (penilaian pra-wang)
tetapi juga apabila pelabur keluar daripada pelaburan mereka (penilaian selepas wang).

ECF perlu mengambilkira juga cara menampung kerugian supaya secara purata pelabur
daripada ahli platform mendapat pulangan yang berbaloi dengan risiko yang diambil.
Pelabur boleh menjual saham mereka pada masa depan untuk mendapatkan semula wang
yang dilaburkan. Walaupun ini merupakan cabaran kerana bilangan pilihan keluar
kemungkinan lebih rendah. Saluran keluar yang paling biasa digunakan adalah melalui
penjualan saham samaada kepada pelabur lain atau pemilik perniagaan tersebut. Secara
ideal, bagi usahawan yang menunjukkan prestasi pernigaan yang baik, penjualan saham
boleh dibuat melalui penawaran awam permulaan supaya saham pelabur juga disenaraikan secara awam di pasaran saham.

Antara aspek yang membimbangkan ialah, tidak seperti saham yang didagangkan secara
terbuka, memandangkan tiada pasaran sekunder untuk saham ECF, pengendali platform
ECF membenarkan usahawan kebebasan yang ketara dalam memilih alat penilaian untuk
menilai syarikat mereka. Fleksibiliti tanpa had ini boleh membawa kepada penilaian yang
melambung tinggi, yang memberi kesan negatif kepada pelabur.

Selain itu, pengendali platform ECF menjana pendapatan berdasarkan dana yang diperoleh melalui kempen. Saiz modal berkait rapat dengan penilaian yang ditetapkan oleh penerbit.

Akibatnya, kekurangan ketelusan risiko memberi beban yang lebih tinggi kepada pelabur
ECF, memaksa mereka untuk mengambil bahagian risiko yang lebih besar daripada
keseluruhan risiko perniagaan berbanding dengan pulangan yang dijangkakan.

Rangka kerja kawal selia yang ditubuhkan oleh SC berfungsi sebagai asas yang baik untuk
memastikan kemampanan ECF. Untuk mencapai hasil ECF yang adil, dasar SC harus
mencari keseimbangan antara peranan SC dalam melindungi pelabur ECF dan
memudahkan akses kepada kewangan serta dapat mengurangkan kekangan kewangan
PKS.

Peraturan yang lebih ketat bukanlah jalan penyelesaian kepada penilaian saham yang adil
ini kerana ia akan meningkatkan kepada kos yang lebih tinggi untuk pengendali platform
ECF dan yang kedua pula usahawan yang memilih dana dikumpul melalui ECF memerlukan lebih fleksibiliti dan kos urus niaga yang lebih rendah disebabkan oleh risiko tinggi yang wujud bagi perniagaan sebegini untuk lebih maju.

Oleh itu, adalah penting bagi pelabur untuk menjalankan penilaian risiko yang menyeluruh dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dari pelaburan mereka.

 

Dr Mohamed Hisham Hanifa ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya

 

 

 

Dr Anna Azriati Che Azmi ialah Profesor Madya di Jabatan Perakaunan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here