KUALA LUMPUR – Misteri kehilangan seorang lelaki akhirnya terjawab selepas kenderaan yang dinaiki individu itu ditemui terbabas dipercayai hampir 60 jam lalu di Lebuh Bukit Jalil, Puchong hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya telah menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu daripada awam pada jam sekitar 3 petang tadi.

Katanya, bertindak atas maklumat itu seramai lima anggota dan pegawai serta dua jentera dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Puchong digerakkan ke lokasi kejadian untuk membantu mengeluarkan mayat.

“Setibanya di lokasi kejadian, didapati sebuah kereta jenis BMW telah terbabas dan masuk ke dalam longkang.

“Pemeriksaan di dalam kereta itu anggota menemui seorang mangsa disyaki lelaki tempatan telah meninggal lebih kurang 60 jam.

“Kerja-kerja mengeluarkan mangsa dari kereta itu telah dilaksanakan ,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar ketika dihubungi mengesahkan mangsa merupakan Orang Hilang (OH) dan laporan polis diterima di Balai Polis Sungai Way. – MalaysiaGazette