BANGI – Seorang wanita yang sedang hamil enam bulan dijatuhi hukuman penjara dua bulan oleh Mahkamah Sesyen Bandar Baru Bangi di sini hari ini kerana mencari pelanggan bagi maksud persundalan menerusi aplikasi Telegram atas nama ‘Miza Ozawa’, awal bulan ini.
Hakim Shahrul Rizal Majid menjatuhkan hukuman itu ke atas Siti Amiza Baharuddin, 27, selepas dia mengekalkan pengakuan bersalah atas pertuduhan pilihan, dan memerintahkan hukuman itu bermula dari tarikh tangkap pada 6 Jun lepas.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah unit kondominium di Bukit Mahkota Kajang pada 4 petang, 6 Jun lepas, dan dia didakwa mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya.
Sebelum menjatuhkan hukuman, Shahrul Rizal menasihatkan Siti Amiza supaya jangan mengikut perasaan serta nafsu, dan jadikanlah kes ini sebagai pengajaran.
Semasa ditanya hakim mengenai perancangannya selepas ini, wanita yang berasal dari Pulau Pinang itu berkata, dia mahu membuka kedai makan di Kuala Lumpur dan menjaga anak dalam kandungannya itu.
Terdahulu Siti Amiza dalam rayuannya memohon mahkamah mengenakan hukuman denda dan bukan pemenjaraan atas alasan telah insaf dengan kesalahannya dan dia sedang mengandung.
“Saya berjanji tidak akan melakukan kesalahan terkutuk ini lagi dan mahu memulakan kehidupan baharu. Saya mahu menjaga anak (dalam kandungan) ini. Saya tidak boleh berada dalam penjara, boleh menjadi mental dan tekanan,” katanya dalam nada sebak.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Afiqah Abdul Ghaffar pula memohon hukuman penjara dikenakan kepada tertuduh dengan mengambil kira kes berkepentingan awam serta kesalahan itu membabitkan langganan persundalan.
Mengikut fakta kes, susulan serbuan ke sebuah unit di kondominium itu, pemeriksaan ke atas telefon bimbit Siti Amiza mendapati wanita itu menggunakan media sosial miliknya iaitu Miza Ozawa untuk mencari pelanggan bagi maksud persundalan.
Pada 19 Jun lepas, Siti Amiza dijatuhi hukuman penjara sebulan dan didenda RM12,500 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan memiliki bahan lucah dan ubat tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). – Bernama