Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Misteri kehilangan seorang pelajar lelaki Tingkatan 5 di Batu Pahat, Johor pada akhir Mei lalu dipercayai terungkai menerusi penemuan satu rangka manusia di kawasan semak dalam kebun durian berhampiran Jalan Yong Peng-Muar hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan satu rangka manusia bersama dokumen oleh seorang lelaki pada jam 11.15 pagi hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal di tempat kejadian membawa kepada penemuan sebuah motosikal, satu rangka manusia bersama pakaian, dokumen diri dan beberapa barangan peribadi.

“Kesan kerosakan pada motosikal yang dijumpai dan dipercayai ia berpunca daripada kemalangan jalan raya yang berkemungkinan telah menyebabkan mangsa meninggal dunia,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Hafiz Fauzan Abdul Halid, 16, beralamat di Bandar Putera Indah, Batu Pahat dilaporkan hilang sejak 26 Mei lalu dan pengesahan siasatan mengenai kehilangan pelajar pernah disiarkan melalui siaran media Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat bertarikh 28 Mei lalu.

Menurut Shahrulanuar Mushaddat, motosikal yang ditunggang mangsa disyaki telah terbabas ke tepi jalan dan terlanggar tiang eletrik menyebabkan remaja itu terhumban di kawasan semak yang curam permukaannya di dalam kebun durian berkenaan.

Tambah beliau, setakat ini dokumen dan barangan yang dijumpai di tempat kejadian telah dicamkan oleh keluarga mangsa sebagai milik remaja yang dilaporkan hilang.

“Pengesahan identiti rangka tulang akan disahkan setelah laporan asid deoksiribonukleik (DNA) diperolehi daripada Jabatan Kimia Malaysia,” ujarnya.

Shahrulanuar Mushaddat berkata, sisatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik.

Katanya, siasatan juga dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah bagi mengenal pasti jika terdapat sebarang unsur jenayah yang menyebabkan kematian mangsa.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Polis Kontijen Johor di talian 07-2212999, Hotline Polis IPD Batu Pahat di talian 07-4343999 atau balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette