KUALA LUMPUR – Seorang penjenayah cedera ditembak anggota polis selepas cuba melarikan diri semasa ditahan berhampiran sebuah gerai makan di Serendah, Hulu Selangor, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, dalam kejadian jam 4.40 petang itu, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Mualim, Perak mengekori kereta Perodua Alza yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, apabila kenderaan suspek berhenti di hadapan gerai makan, pihak polis telah menghalang kereta suspek dengan kenderaan.

“Suspek kemudian bertindak merempuh kedua-dua kenderaan yang dihalang oleh kenderaan pasukan polis sehingga membahayakan nyawa anggota polis tersebut.

“Berikutan itu, polis melepaskan beberapa das tembakan kearah kenderaan suspek. Sejurus keadaan selamat, pemeriksaan mendapati suspek mengalami kecederaan di perut akibat kesan tembakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, suspek yang tercedera telah dibawa ke Hospital Selayang dan pegawai perubatan yang memeriksa memaklumkan keadaan suspek lelaki berusia 30-an itu stabil.

Katanya, semakan mendapati suspek mempunyai 14 rekod lampau membabitkan kes jenayah serta dadah.

“Suspek telah ditahan reman bermula Sabtu lalu sehingga Jumaat ini untuk membantu siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkannya dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor di talian 03-60651021 atau balai polis berhampiran. -MalaysiaGazette