Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berucap pada Majlis Perasmian Pameran Seni sempena meraikan ulang tahun ke-55 hubungan diplomatik antara Malaysia dengan Romania ketika di Dewan Bankuet Parlimen, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 24 JUN 2024.

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengesahkan telah menerima notis untuk mengosongkan enam kerusi Ahli Parlimen daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Katanya, notis berkenaan diserahkan kepada beliau oleh  Ketua Whip di Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee pada Jumaat lalu.

Sehubungan itu Johari berkata, beliau akan membuat keputusan berhubung perkara berkenaan dalam tempoh 21 hari.

“Saya baru dapat surat dari Beluran (Ketua Whip) pada Jumaat yang lalu dan mengikut undang-undang saya ada 21 hari untuk mengkaji insya-Allah setelah saya dapat keputusan saya akan jawab dan panggil kamu semua untuk maklumkan, jadi tolong bersabar.

“Insya-Allah saya ada 21 hari untuk mengkajinya,” katanya ketika ditemui pemberita di  Majlis Perasmian sempena meraikan ulang tahun ke-55 hubungan diplomatik antara Malaysia dengan Romania di Dewan Bankuet Parlimen Malaysia.

Pada Khamis yang lalu, Bersatu diwakili Naib Presidennya iaitu Ronald dilaporkan mengemukakan notis kepada Johari bagi meminta supaya enam kerusi Parlimen disandang wakil rakyat parti itu dikosongkan.

Ia susulan keahlian mereka digugurkan serta merta kerana gagal memberi sebarang jawapan berkaitan surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti berkenaan.

Terdahulu, surat arahan itu dikeluarkan Bersatu kepada semua wakil rakyatnya sebelum ini, bagi mereka menzahirkan pendirian berkaitan kesetiaannya terhadap parti, yang dibuat susulan pindaan ke atas Fasal 10 dalam Perlembagaan Bersatu yang sudah pun diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Pada 1 Jun lalu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebanyak 25 Ahli Parlimen dan 58 Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sudah menandatangani surat menyatakan kesetiaan kepada parti itu.

Ini bermakna, enam Ahli Parlimen yang sebelum ini menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak mengemukakan sebarang maklum balas seperti yang diarahkan Bersatu .

Mereka ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Minggu lalu,  Speaker Dewan Undangan negeri (DUN) Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas DUN terbabit pada 13 Jun lalu menerima notis bertulis mengenai Mohd Azizi Abu Bakar yang tidak lagi menjadi ahli parti berkenaan. – MalaysiaGazette