NIBONG TEBAL – Suhu kempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap masih lagi suam-suam kuku.
Sebaik selesai proses penamaan calon Sabtu lalu, calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail dan calon Pakatan Harapan (PH), Joohari Ariffin dilihat lebih selesa memilih pendekatan mengadakan pertemuan bersemuka bersama pengundi dalam skala kecil tanpa program mega.
Jadual kempen kedua-dua calon itu padat dengan kaedah kempen konvensional iaitu bertemu pengundi secara bersemuka, kempen rumah ke rumah, hadir ke kawasan tumpuan umum, ceramah kelompok kecil.
Mereka juga dilihat tidak melepaskan peluang menggunakan platform media sosial untuk mendekati pengundi muda.
Sementara itu, perang bendera juga dilihat kurang meriah walaupun tempoh berkempen sudah memasuki hari ketiga hari ini.
Tinjauan Malaysia Gazette mendapati hanya tempat tertentu khususnya kawasan kubu kuat masing-masing saja bahan kempen dan bendera parti dipasang
Malah, tiada replika menarik berasaskan bendera ditemui setakat ini.
PRK DUN Sungai Bakap diadakan berikutan kematian Nor Zamri pada 24 Mei lepas akibat penyakit keradangan dalam perut.
Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos lepas menentang calon Pakatan Harapan, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi. Beliau mendapat 15,433 undi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai depan sebagai hari mengundi bagi PRK Sungai Bakap. – MalaysiaGazette