Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Subang, Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Subang membantah penjualan pegangan saham 30 peratus milik Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) kepada syarikat yang mempunyai kaitan dengan Israel termasuk Blackrock.

Ketuanya, Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail berkata, tindakan itu hanya menguris perasaan majoriti umat Islam di negara ini yang selama ini konsisten membantah kekejaman Israel ke atas rakyat Palestin.

“Ini kerana Blackrock yang berpangkalan di Amerika Syarikat didakwa membiayai pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin.

“Tindakan ini dilihat sebagai tidak selaras dengan prinsip moral dan etika yang kita junjung selama ini.

“Kita tidak perlu membuka pintu kepada pihak luar, terutamanya kepada entiti yang mempunyai kaitan dengan agenda Zionis yang terang-terangan menindas rakyat Palestin,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Global Infrastructure Partners (GIP) yang dimiliki Blackrock akan memegang 30 peratus kepentingan dalam konsortium untuk menguruskan MAHB bersama dana pelaburan kerajaan iaitu Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). 

Kedua-dua entiti ini adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan yang diketuai oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Fariz yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO berkata, penjualan saham ini bukan sahaja akan memberi kesan kepada integriti moral negara bahkan tetapi boleh menjejaskan imej Malaysia di mata dunia.

“Saya menyeru pihak berkuasa dan semua pihak terbabit untuk menilai semula keputusan ini dan mempertimbangkan kepentingan jangka panjang negara dari sudut moral, etika dan strategik,” katanya.

Selain itu, tiada keperluan kerajaan untuk menjual pegangan saham MAHB kepada syarikat pro-zionis susulan keuntungan yang dicatatkan syarikat berkaitan kerajaan itu pada tahun lalu.

“Pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY2023), MAHB melaporkan keuntungan bersih sebanyak RM543.2 juta meningkat dari keuntungan bersih RM187.2 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY2022).

“Ini jelas menunjukkan MAHB berada dalam kedudukan kewangan yang kukuh dan tidak memerlukan suntikan modal asing yang berisiko dari segi moral dan politik,” katanya.

Katanya, masih terdapat banyak lagi alternatif yang lebih bernas untuk kemajuan ekonomi negara tanpa membabitkan syarikata asing yang didakwa mempunyai kaitan dengan keganasan kemanusiaan di Palestin.

“Kita perlu mencari solusi yang bukan sahaja membawa keuntungan ekonomi tetapi juga selaras dengan nilai-nilai kemanusiaan dan keadilan yang kita pegang teguh,” katanya. – MalaysiaGazettte