Bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim lepas tangan termasuk tuduhan yang dikaitkan semasa pemerintahannya.

“Bukankah mahkamah tempat paling baik untuk Anwar buktikan tuduhan-tuduhan tersebut disertakan dengan kotak-kotak bukti yang ada padanya?” soalnya.

Menurut bekas Perdana Menteri dua kali itu bila disuruh mengemukakan bukti di mahkamah, Anwar senyap.

Sebaliknya, Dr Mahathir berkata, agensi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diarahkan untuk menyiasat anak-anaknya kononnya mereka memiliki bukti untuk digunakan terhadap dirinya.

“Ini maknanya, selama 30 tahun dia tuduh tanpa bukti dan sekarang bila saya saman minta kemuka bukti, terus guna SPRM untuk bantu cari bukti,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Dr Mahathir berkata, setiap kali beliau mengkritik atau mendedahkan kesalahan Perdana Menteri, reaksi mereka dan penyokong mereka bukan untuk memperbetul atau menerangkan apa yang sedang berlaku.

“Sebaliknya, mereka menyerang saya dan kononnya akan mendedahkan segala kesalahan yang saya lakukan semasa menjadi PM.

“Inilah yang berlaku sejak dari zaman Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) dengan tingkat empatnya, Najib dengan 1MDB dan sekarang Anwar dengan pembohongannya berkenaan reformasi dan perjuangan menentang rasuah,” katanya.

Menurut Dr Mahathir, tidak salah untuk mendedahkan kesalahannya jika ada. Malahan beliau sendri berusaha untuk menerang dan bersedia disiasat.

“Sejak beberapa PM sebelum ini, saya telah hadapi RCI, siasatan polis malahan ahli keluarga saya turut disiasat oleh LHDN dan sekarang oleh SPRM,” katanya.

Sebaliknya, menurut Dr Mahathir, kesalahan yang dilakukan oleh PM itu tidak dijawab, tidak ada usaha untuk menerangkan sama ada kritikan itu tidak betul atau tersasar.

“Jabatan-jabatan kerajaan yang menyiasat saya juga turut tidak mempeduli pendedahan terhadap PM dan amat sibuk menyiasat saya.

“Inilah yang berlaku semasa era Najib dan skandal 1MDBnya. Peguam Negara yang dilantik olehnya menyucikan Najib,” katanya.

Menurut beliau, begitu juga dengan pihak polis, SPRM (yang ketuanya diganti dengan penyokong PM) serta lain-lain agensi yang seharusnya menyiasat skandal tersebut.

“Hari ini keadaan yang sama berlaku. Setelah saya saman Anwar kerana tidak henti tuduh saya rasuah dan salah guna kuasa, saya memberi peluang untuk dia dedah kesalahan-kesalahan yang dia tuduh saya lakukan selama lebih 30 tahun.

“Tuduhan-tuduhan ini tidak henti-henti diulang kecuali selama dua tiga tahun ketika saya bersama Pakatan Harapan.

“Sepatutnya, berdasarkan kepada kenyataan-kenyataannya yang lampau, Anwar sudah ada berkotak-kotak dokumen yang membukti kesalahan yang saya lakukan. Saya juga bersedia untuk menjawab tuduhan itu di mahkamah.

“Dalam masa yang sama dia bebaskan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan yang sedang dibicara 47 tuduhan hukuman Najib dikurangkan setengah, ada pula ura-ura untuk longgarkan lagi hukuman dengan tahanan di rumah sendiri.

“Kita nak tahu apa pendirian kerajaan jika benar Najib akan dikena tahanan rumah. Begitu juga dengan isu kronisme terbabit bekas setiausaha politiknya,” ujarnya.

Menurut Dr Mahathir, laporan polis telah dibuat tetapi Anwar buat senyap dan terus buat tuduhan terhadap musuh-musuh politiknya. – MalaysiaGazette