KLIA diuruskan oleh MAHB.

KUALA LUMPUR – Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa tidak membawa isu penjualan saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada BlackRock dalam Kabinet dan meluluskan transaksi tersebut tanpa berbincang dianggap seperti ‘menjual negara’.

Timbalan Presiden Muafakat Nasional, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, ia kerana penjualan saham MAHB dibuat secara terburu-buru dan tidak memikirkan impak negatif kepada ekonomi dan kedaulatan negara.

Menurutnya, sungguh pun Global Infrastructure Partners (GIP) telah mengeluarkan kenyataan BlackRock tidak akan terlibat dalam inisiatif konsortium penswastaan MAHB namun Malaysia tidak boleh menolak hakikat keputusan yang diambil oleh GIP selepas ini sudah tentu perlu mendapatkan kebenaran BlackRock.

Jelas beliau, memang agak sukar bagi mana-mana negara membangun di dalam dunia untuk menolak kemaraan syarikat seperti Black Rock kerana syarikat pelaburan global tersebut mempunyai pengaruh dalam setiap industri peringkat antarabangsa.

Malah sebelum isu MAHB  timbul, BlackRock dilaporkan mempunyai kepentingan di dalam 100 syarikat di Malaysia yang terlibat dalam pelbagai industri.

“Jadi apakah wajar untuk kita menutup sebelah mata sekiranya BlackRock menguasai kepentingan MAHB yang menguruskan 39 lapangan terbang di dalam negara dan 1 lapangan terbang antarabangsa di Turkiye?

“Sudah tentu tidak! MAHB adalah aset yang bukan sahaja terlibat dalam sektor pengangkutan dan pelancongan semata-mata tetapi juga merangkumi pengurusan pintu masuk sempadan negara dan juga pelbagai lagi isu keselamatan.

“Jika dilihat dari suatu sudut, campur tangan BlackRock terhadap MAHB yang terang terangan adalah sebuah syarikat yang pengasasnya (Larry Fink) adalah penyokong tegar zionis, sudah tentu kita merasakan ada yang tidak kena dengan persetujuan Khazanah Nasional, Menteri Kewangan (merangkap PMX) dan juga Kerajaan Madani,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zuraidah menambah, dari sudut politik, kita melihat bukan sahaja barisan pemimpin pembangkang yang menentang keras penglibatan BlackRock dalam menguruskan MAHB yang merupakan aset ekonomi dan strategik negara kerana pemimpin UMNO yang menjadi sebahagian daripada Kerajaan Madani juga turut menyatakan kerisauan dan penentangan mereka terhadap keputusan itu.

Timbalan Presiden UMNO yang juga Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hassan, perkara itu tidak dibincangkan di Kabinet dan Menteri Kewangan telah meluluskan perkara ini tanpa berbincang dengan mana-mana pemimpin kerajaan.

“Secara tidak langsung isu BlackRock menguasai MAHB ini menunjukkan sifat political chameleon PMX yang baru sahaja beberapa bulan lepas sebegitu ramah dengan pemimpin Hamas dan kini akur pula dengan telunjuk syarikat besar pro-zionis tanpa sebarang isu.

“Sekiranya perkara ini berlarutan, ia bukan sahaja menjadi isu politik tetapi juga isu mengenai kedaulatan negara yang tercemar akibat kita terlalu mudah menerima kemasukan syarikat-syarikat yang mempunyai ulterior motive yang menjangkaui perniagaan dan pembangunan ekonomi semata-mata,” ujarnya sambil berharap pemimpin kerajaan membuka mata mereka.

Zuraida berharap pemimpin negara melihat perkara itu dengan hati yang ikhlas dan lapang untuk sedar yang mereka sedang membawa kehancuran kepada negara. – MalaysiaGazette