Pertembungan di antara Calon Pakatan Harapan, Dr Joohari Ariffin (kanan) dan Calon Perikatan Nasional, Abidin Ismail (kiri) ketika tinjauan Malaysia Gazette di Pasar Malam Puteri Gunung, Pulau Pinang. Foto AIZAT ZAINAL, 25 JUN 2024.

NIBONG TEBAL – Tapak pasar malam Puteri Gunong, Simpang Ampat di sini, meriah apabila dua calon yang bertanding Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap ‘bertembung’ sesama sendiri ketika sedang berkempen hari ini.

Calon Perikatan Nasional ( PN), Abidin Ismail dan calon Pakatan Harapan (PH) Dr. Joohari Ariffin sempat menegur sapa serta bergambar bersama sebelum masing-masing meneruskan aktiviti bertemu pengundi di lokasi berkenaan.

Ini merupakan pertembungan kali pertama mereka sejak hari penamaan calon pada Sabtu lalu.

Joohari ketika ditemui pemberita menyifatkan pertembungan itu merupakan pertemuan positif.

“Kita berkawan dan bersaing secara sihat jadi bila jumpa tadi sempat saya maklumkan bahawa fokus dalam PRK ini berkaitan isu rakyat dan tidak perlu bawa perkara provokasi,” katanya ringkas.

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) iaitu bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin dan bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN).

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK berkenaan pada 6 Julai. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here