Abdul Rahman Mohamad.

KUALA LUMPUR – Dasar Gaji Progresif (DGP) dijangka akan dilaksanakan secara menyeluruh Oktober tahun ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, pelaksanaan dasar itu akan dibuat selepas penilaian impak projek rintis selesai dilaksanakan September ini.

“Pelaksanaan projek rintis DGP bermula pada Jun hingga Ogos ini. Bagaimanapun, majikan sudah boleh mula mendaftar melalui laman sesawang www.gajiprogresif.gov.my pada 15 Mei lalu,” katanya dalam Dewan Rakyat hari ini.

Jelas Abdul Rahman, projek rintis itu dilakukan untuk menilai ketersediaan dasar dan sistem yang dibangunkan serta menentukan penambahbaikan.

Sehingga kini dilihat permohonan majikan untuk menyertai projek rintis DGP semakin meningkat, katanyamenjawab soalan tambahan Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju).

“Sehingga 25 Jun (hari ini), seramai 732 majikan sudah membuka akaun menerusi Sistem Gaji Progresif dan daripada jumlah itu, seramai 237 (32 peratus) majikan sudah mengemukakan permohonan untuk menyertai Projek Rintis DGP.

“Sebanyak RM50 juta disediakan bagi pelaksanaan projek rintis DGP termasuk bagi pembayaran insentif kepada 1,000 majikan, pembayaran insentif kepada pihak majikan dijangka bermula Oktober ini apabila pihak majikan mengemukakan tuntutan selepas memenuhi syarat ditetapkan,” katanya lagi.

Terdahulu, Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan status pelaksanaan dasar gaji progresif peringkat Kementerian.-MalaysiaGazette