KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2024 yang menambah baik liputan keselamatan sosial kepada golongan pekerja diluluskan di Dewan Rakyat hari ini.
Kelulusan diumum Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor selepas sesi penggulungan selesai oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.
Katanya, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menyediakan pelbagai faedah bagi melindungi pekerja yang ditimpa kemalangan bencana kerja, merangkumi faedah hilang upaya sementara, faedah orang tanggungan, faedah pendidikan dan kemudahan pemulihan.
“Namun di bawah Akta 4 Skim Bencana Pekerjaan masih terpakai kepada pekerja yang masih bekerja walaupun berumur lebih 60 tahun. Jadi 60 tahun ke atas masih bekerja dan ada kemalangan, maka mereka boleh mendapat tuntutan faedah. Tapi skim keilatan, hadnya 60 tahun,” katanya.
Tambah beliau, beberapa penguatkuasaan undang-undang turut dilaksanakan menerusi pindaan kali ini bagi memastikan majikan mencarum.
Antara penguatkuasaan adalah melakukan pemeriksaan secara berjadual ke premis oleh pegawai pemeriksa di seluruh negara.
Tambah beliau, kaedah pengesanan ke atas majikan turut dilakukan dengan kerjasama agensi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta operasi bersepadu antara agensi dan jabatan di bawah Kementerian Sumber Manusia (Kesuma).
RUU tersebut dibentangkan pertama kali pada Mac lalu dan sesi perbahasan melibatkan 21 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.- MalaysiaGazette