Firdaus Wong Wai Hung

KUALA LUMPUR – Firdaus Wong Wai Hung mendakwa dipanggil oleh polis bagi membantu siasatan berhubung satu laporan polis yang dibuat ke atas pendakwah bebas tersebut.

Menurut Firdaus, pembantu peribadinya telah menerima mesej daripada Pegawai Penyiasat Jenayah dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Petaling Jaya Selangor Inspektor Ainol Syafiq berhubung perkara tersebut.

“Ini ialah bersabit satu laporan polis. Dia hanya beritahu nombor laporan polis tapi dia tak beritahu tentang bersabit dengan siapa buat (laporan polis), apakah isunya, apakah kesnya.

“Jadi dia telah meminta PA saya untuk minta saya hadir ke IPD Petaling Jaya untuk merakamkan percakapan saya,” kata Firdaus kepada The Merdeka Times di sini hari ini.

Firdaus bagaimana pun berkata, setakat ini sebarang keputusan berkenaan tarikh dan waktu untuk memenuhi panggilan polis itu masih belum diputuskan memandangkan jadual beliau sangat padat ketika ini.

Pada 25 Jun lalu media melaporkan, polis telah membuka kertas siasatan terhadap pendakwah bebas, Firdaus Wong berhubung kenyataan yang didakwa boleh mencetuskan kacau ganggu awam.

Peguam Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh, yang mewakili pengerusi Persatuan Agamam Ani Hindu Malaysia, Arun Dorasamy, mengesahkan pihak berkuasa telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan susulan laporan dibuat kumpulan itu.

NGO itu sebelum ini membuat laporan polis dengan mendakwa Firdaus memuat naik video mengenai cara untuk mengislamkan kanak-kanak bukan Islam secara rahsia.

“Sukacita dimaklumkan kepada orang ramai bahawa polis akhirnya membuka kertas siasatan terhadap Firdaus Wong di bawah seksyen 505(c) Kanun Keseksaan.

“Kami berharap keadilan akan ditegakkan dan Firdaus Wong akan didakwa dan disabitkan kesalahannya terhadap masyarakat,” kata kedua-dua peguam.

Seksyen 505(c) adalah berkait perbuatan mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapikan mana-mana golongan atau kaum.-MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here