KUALA LUMPUR – Graduan Malaysia-China Institute (MCI) tidak akan bekerja di negara China sebaliknya bakat mereka akan kekal untuk menyumbang kepada negara ini.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara berkata, pengekalan bakat tempatan menjadi keutamaan kerajaan meskipun wujud kursus di negara berkenaan hasil kerjasama dua hala.
“Soal pengekalan bakal dan kemahiran itu dijadikan keutamaan. Pelajar kita setelah tamat nanti tidak akan bekerja dengan syarikat syarikat China di sana sebaliknya mereka akan pulang bekerja dengan syarikat Malaysia atau syarikat China di negara kita sebagai sebahagian strategi pelaburan iaitu mereka menggunakan tenaga tempatan yang berketerampilan,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalah Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) mengenai rancangan pengekalan bakat graduan MCI.
Ahmad Zahid menjangkakan sekurang-kurangnya 250,000 peluang pekerjaan dalam bidang TVET dapat diisi selari dengan keperluannya bermula tahun ini.
“Institusi TVET menerusi kursus jangka pendek dan sederhana dapat beri peluang pekerjaan, secara tidak langsung pengangguran ketara akan dapat dikurangkan.
“Dengan ini Indeks Pengangguran akan diturunkan satu peratus dalam keadaan sekarang,” ujarnya. – MalaysiaGazette