KUALA LUMPUR – Inflasi Malaysia meningkat 2.0 peratus pada Mei 2024 dengan mata indeks mencatatkan 132.8 berbanding 130.2 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Peningkatan ini didorong oleh peningkatan bagi kumpulan utama perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain (3.2%); restoran & perkhidmatan penginapan (3.2%) dan penjagaan diri, perlindungan sosial & pelbagai barangan & perkhidmatan (3.0%).

Manakala, pakaian & kasut menurun kepada negatif 0.2 peratus dan insurans & perkhidmatan kewangan menurun kepada negatif 0.1 peratus berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, inflasi perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain meningkat kepada 3.2 peratus
(April 2024: 3.0%).

Peningkatan ini disumbangkan terutamanya oleh subkumpulan bekalan air & pelbagai perkhidmatan berkaitan rumah kediaman, 32.1 peratus (April 2024: 31.6%) seiring dengan kenaikan kadar tarif bagi bekalan air untuk pengguna domestik di Perak bermula Mei 2024.

Sementara inflasi restoran & perkhidmatan penginapan meningkat kepada 3.2 peratus (April 2024: 3.5%) disumbangkan oleh peningkatan subkumpulan utama perkhidmatan penyediaan minuman kepada 4.1 peratus (April 2024: 3.9%).

Inflasi bagi penjagaan diri, perlindungan sosial & pelbagai barangan & perkhidmatan meningkat 3.0 peratus pada Mei 2024 berbanding 3.1 peratus pada April 2024.

Peningkatan ini disumbangkan oleh kenaikan bagi kelas perbelanjaan barang kemas & jam tangan 16.5 peratus (April 2024: 17.0%).

Kumpulan makanan & minuman yang menyumbang 29.8 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP mencatatkan peningkatan perlahan 1.8 peratus pada Mei 2024 (April 2024: 2.0%).

Subkumpulan utama makanan di rumah meningkat secara marginal kepada 0.5 peratus pada Mei 2024 (April 2024: 0.4%).

Kelas perbelanjaan sayur-sayuran merekodkan peningkatan tertinggi sebanyak 4.8 peratus berbanding 3.2 peratus pada April 2024.

Antara sayur-sayuran yang mencatatkan kenaikan dua digit adalah bawang putih, bawang besar, lada benggala dan timun.

Inflasi bagi kelas perbelanjaan Daging merekod penurunan negatif 0.3 peratus pada Mei 2024 (April 2024: -0.9%).

Daging ayam segar yang merupakan komponen terbesar merangkumi 32.6 peratus dalam kelas perbelanjaan daging masih berada dalam jajaran negatif iaitu negatif 0.8 peratus (April 2024: -3.5%).

Berdasarkan pengumpulan data oleh Jabatan Perangkaan, purata harga ayam standard di Malaysia pada Mei 2024 adalah RM10.42 sekilogram berbanding RM10.45 sekilogram pada bulan Mei 2023 (April 2024: RM10.13).

Manakala, purata harga ayam standard bagi Semenanjung Malaysia pada Mei 2024 adalah RM9.71 sekilogram berbanding RM9.92 sekilogram pada bulan Mei 2023 (April 2024: RM9.33).

Selain itu, pelaksanaan Skim Harga Maksimun Musim Perayaan (SHMMP) sempena Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2024 memastikan harga kekal stabil semasa perayaan.

Selain itu, subkumpulan utama makanan di luar rumah meningkat lebih rendah sebanyak 3.4 peratus berbanding 4.0 peratus pada bulan sebelumnya, antara item
yang merekodkan peningkatan lebih rendah berbanding bulan sebelum ialah seperti nasi campur, nasi lemak dan masakan daging.

Inflasi pengangkutan meningkat secara marginal kepada 0.9 peratus pada Mei 2024 berbanding 0.8 peratus pada April 2024 disumbangkan subkumpulan utama Pengurusan peralatan pengangkutan persendirian yang meningkat kepada 1.4 peratus pada Mei 2024 (April 2024: 1.3%).

Purata harga petrol tanpa plumbum RON97 pada Mei 2024 adalah RM3.47 seliter berbanding RM3.35 seliter pada Mei 2023 (April 2024: RM3.47).

Mohd Uzir Mahidin menambah, kebanyakan negeri merekodkan peningkatan di bawah paras inflasi nasional 2.0 peratus bagaimanapun empat negeri merekodkan peningkatan melebihi paras inflasi nasional iaitu Pulau Pinang (3.3%), Sarawak (2.8%), Pahang (2.6%) dan Selangor (2.4%).

Kesemua negeri mencatatkan peningkatan inflasi makanan & minuman dengan kenaikan tertinggi dicatatkan oleh Selangor pada 3.4 peratus, diikuti oleh
Pulau Pinang (2.7%), Perlis (2.0%), Sarawak (1.9%), Pahang (1.8%) dan Putrajaya (1.8%).

Sementara itu, negeri-negeri lain menunjukkan peningkatan di bawah paras inflasi makanan & minuman nasional iaitu 1.8 peratus pada Mei 2024. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here