Isham Jalil

KUALA LUMPUR –  Isham Jalil mendakwa pendirian Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung penjualan saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bukan pendirian UMNO, sebaliknya UMDAP.

UMDAP merupakan gelaran kepada gabungan UMNO dan DAP.

Isham yang juga bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu berpandangan tiada orang UMNO yang original setuju untuk jual pegangan MAHB kepada syarikat berkaitan Israel yang menyokong pembunuhan beramai-ramai ke atas Palestin.

“Zahid ikut saja apa yang Anwar kata. Bagai lembu dicucuk hidung,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam Ahmad Zahid berkata, UMNO memiliki pendirian sama dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam penjualan sebahagian saham MAHB kepada syarikat pro-Israel, BlackRock.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang membantah penjualan sebahagian saham itu adalah pandangan peribadi beliau dan tidak mewakili parti itu.

Tegasnya, isu tersebut telah dibincangkan beberapa kali dalam mesyuarat Jemaah Menteri sebelum diperincikan pada pra taklimat Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Mohamad Sabtu lalu yang berkata, UMNO mendesak Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) tidak meneruskan jualan pegangan saham dalam MAHB kepada BlackRock.

Mohamad berkata, keputusan berkenaan tidak dibuat melalui Kabinet, namun masih mengharapkan ia dikaji semula.

“Kita menteri-menteri UMNO memberikan pandangan jika boleh perkara ini tidak diteruskan tetapi transaksi itu sudah terlampau maju.

“Jadi kita tengoklah macam mana, kita pun tidak tahu sama ada diteruskan atau tidak bukan di kalangan kita kerana Khazanah di bawah Kementerian Kewangan,” ujarnya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jasin. – MalaysiaGazette