Calon Perikatan Nasional, Abidin Ismail bercakap pada media berkenaan Program Ceramah Kelompok Perikatan Nasional (PN) di UDM Tasek Junjung, Pulau Pinang. Foto AIZAT ZAINAL, 24 JUN 2024

NIBONG TEBAL – Kekangan dana bukan alasan untuk  Calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Abidin Ismail memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Sebaliknya, beliau menyifatkan pengalaman dinafikan peruntukan sudah dilaluinya ketika bersama ADUN Sungai Bakap, Allahyarham Nor Zamri Latiff atau Abang Zam.

“Kekangan dana itu antara cabaran bagi kita tapi semua sedia maklum Perikatan Nasional atau Pas sendiri sudah lama menjadi pembangkang (jadi isu dana sudah lama) tapi masih mampu memberikan perkhidmatan kepada rakyat.

“Alhamdulillah, ada bantuan daripada sahabat-sahabat walaupun tak banyak tapi insya-Allah ada,” katanya ketika ditemui pada Ceramah Kelompok PN di Unita Daerah Mengundi (UDM) Tasek Junjung di sini, malam tadi.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pas, Tan Sri Annuar Musa ketika ditemui di lokasi sama berkata, penafian dana terhadap pembangkang seumpama menghukum rakyat.

“Isu (dana) besar.. bila benda bercakap tentang hak maka ia adalah isu besar walaupun nilai duitnya sikit hak manusia jangan dirampas.

“Dalam Islam khutbah Rasulullah SAW mengingatkan manusia jaga hak..beri hak kepada yang berhak..hak suami pada isteri, hak orang kaya pada orang miskin.

“Wakil rakyat tak susah kalau kerajaan tak bagi peruntukan, yang susah rakyat jadi kenapa nak dihukum rakyat..rakyat tu siapa bukan orang kita? ataupun kita bila sudah jadi kerajaan kita jadi kelas kayangan, rakyat biar lantak apa nak jadi..kalau begitu sikapnya (kerajaan) tunggu la masa (dijatuhkan),” katanya. – MalaysiaGazette