Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Kelewatan pelaksanaan penyasaran subsidi merupakan antara punca kejatuhan kedudukan Malaysia ke tangga 34 dalam Indeks Daya Saing Dunia 2024.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia termasuklah prestasi ringgit yang lemah dan unjuran ekonomi selepas pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, katanya, secara umum laporan berkenaan masih mengekalkan Malaysia sebagai negara yang mempunyai ekonomi yang stabil.

“Memang ada kelemahan yang harus diperbaiki. Secara umum laporan itu masih mengekalkan Malaysia sebagai ekonomi yang stabil. Cuma kelemahan-kelemahan seperti yang disebut dalam perincian umpanya mengambil kira tentang unjuran pertumbuhan.

“Seperti mana yang kita tahu unjuran ekonomi kita Ketika post-Covid melonjak naik, dari yang sangat rendah. Jadi prestasi itu tentunya lebih endah berbanding sebelumnya.

“Kedua prestasi ringgit pada 2023, itu sangat lemah dan ini menyebabkan kita merudum ikut istilah rekod itu.

“Ketiga, pengurusan ekonomi  kita tidak tegas dalam perbelanjaan. Dalam keadaan perbelanjaan kita itu meningkat defisit membengkak kita masih meluluskan beberapa peruntukan kerana fikirkan rakyat kita berikan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan sebagainya, ini menyebabkan prestasi kita melemah.

“Ini dikaitkan dengan kelewatan kita melaksanakan penyasaran subsidi ini dilihat kelemahan,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) di Dewan Rakyat yang meminta Anwar menyatakan apa strategi kerajaan ekoran laporan tersebut.

Tambah Perdana Menteri, beliau yakin kedudukan ekonomi Malaysia pada tahun ini akan semakin meningkat berdasarkan rekod semasa.

Ahli Parlimen Tambun itu berkata, memperbaiki pertumbuhan ekonomi bukan hanya tanggungjawab Jemaah Menteri namun semua lapisan pengurusan pentadbiran.

“Ini tanggungjawab keseluruhannya ukan hanya Jemaah Menteri, Ketua Setiausaha, Ketua Pengarah dan agensi kerajaan. Saya percaya kalau kita ambil langkah tegas ia boleh melonjak.

“Ikut unjuran kita berdasarkan prestasi suku ahun pertama kita akan dapat meningkat jauh lebih baik daripada laporan,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama, Anwar menolak dakwaan kedudukan terkini Malaysia adalah disebabkan hubungan dengan China, Iran dan Hamas.

“Ada orang buat tafsiran kita keras dengan hubungan China, Iran dan Hamas, sehingga itu menjejaskan tapi saya tidak fikir ini tepat,”ckatanya lagi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast