Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan meninjau Projek Pembinaan Depot Tahanan Imigresen dan Kuarters Pegawai Imigresen di Jawi, Pulau Pinang. Foto AIZAT ZAINAL, 25 JUN 2024.

NIBONG TEBAL – Kementerian Kewangan diminta memberikan penjelasan berhubung Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Khazanah dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Blackrock Inc (Blackrock).

Cadangan itu disuarakan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan agar rakyat lebih memahami isu berbangkit berkaitan entiti berkenaan.

Beliau yang Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata, beliau tidak boleh mendedahkan perincian tersebut meskipun sedia maklum mengenainya.

“Saya cadangkan satu kenyataan dibuat oleh Kementerian Kewangan mengenai BlackRock, Khazanah, MAHB dan KWSP supaya rakyat memahami perkara ni.

“Maklumat lengkap (perincian perkara berbangkit berkaitan entiti tersebut) ada pada saya tetapi bukan saya yang patut mengatakan biarlah Kementerian Kewangan membuat kenyataan rasmi tentang perkara itu.

“Saya tahu berapa percent (peratus)..begitu begini (perician) semua ada..tapi itulah jika saya menyatakan nanti melanggar protokol kementerian pula.. jadi kita serah (kepada kementerian berkaitan).

“Saya sendiri akan maklumkan pada sahabat-sahabat saya dalam Kabinet supaya ada kenyataan sebagai mana dibuat kenyataan menteri di Parlimen semalam (berkaitan penyasaran subsidi diesel),” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, Ahmad meninjau Projek Pembinaan Depot Tahanan Imigresen dan Kuarters Pegawai jabatan berkenaan di Jawi di sini.

Media semalam melaporkan, UMNO sependapat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu pemilikan sebahagian saham dalam Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) oleh Global Infrastructure Partners (GIP) yang ada kepentingan Blackrock Inc (Blackrock).

Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kenyataan Timbalannya, Datuk Mohamad Hassan berhubung isu itu semalam adalah pandangan peribadi Menteri Luar itu.

“Pendapat yang diberikan oleh Tok Mat (Mohamad) adalah pendapat peribadinya dan saya sudah bertemunya

“Beliau menyatakan itu hanya pandangannya dan bukan mencerminkan pandangan UMNO secara rasmi,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here