Fadhlina.

NIBONG TEBAL – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menjalankan siasatan berhubung kes buli pelajar wanita di sebuah sekolah menengah dalam daerah Kerian, Perak.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya kini menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan tindakan sewajarnya berhubung kes tersebut.

Katanya, KPM juga telah menetapkan peraturan dan menambah baik segala garis panduan bagi mengekang kes buli khususnya di institusi bawah KPM.

“Menjadi keutamaan KPM untuk menangani kes buli yang berlaku di institusi pendidikan.

“Jadi saya ambil kesempatan ini untuk terus memperingatkan khususnya ibu bapa para guru komuniti dan juga anak-anak supaya tidak terjebak dengan gejala buli ini dan kita sudah pun menetapkan peraturan,”katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan di Pusat Media PRK Sungai Bakap di sini, malam tadi.

Media sebelum ini melaporkan pihak polis menyiasat satu video tular di media sosial yang memaparkan kejadian buli melibatkan beberapa pelajar perempuan dari sebuah sekolah menengah di daerah Kerian di sini.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri mengesankan pihaknya melakukan siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan selepas menerima laporan daripada pelajar perempuan berusia 13 tahun itu.

Terdahulu, video berdurasi satu minit 21 saat itu menunjukkan seorang pelajar perempuan dibuli dua pelajar lain sehingga tular di media sosial telah mencetus kemarahan warganet.

Pelajar yang memakai baju hijau telah menampar mangsa tiga kali manakala rakannya menampar sekali.

Mangsa dilihat hanya menangis dan menahan tamparan daripada seniornya itu tanpa melawan. – MalaysiaGazette